Serangan Israel ke atas Palestin cabul undang undang antarabangsa: PM

Muhyiddin berucap semasa Perutusan Khas Isu Palestin yang disiarkan secara langsung pada Sabtu. - Foto Bernama
Muhyiddin berucap semasa Perutusan Khas Isu Palestin yang disiarkan secara langsung pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan serangan Israel ke atas Palestin merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata, ia turut mencabuli hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.

"Saya percaya, rakyat Malaysia yang cintakan keamanan berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas Palestin dan menolak sekeras-kerasnya tindakan keji rejim Israel ke atas rakyat Palestin.

"Demi menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kita kepada Palestin, kita mesti sepakat menjelaskan kepada seluruh dunia pendirian Malaysia terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel ke atas rakyat Palestin," katanya pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung di Facebook Perdana Menteri pada Sabtu.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut memaklumkan mengenai perbincangan beliau dengan Presiden Republik Indonesia Joko Widodo menerusi panggilan telefon berhubung situasi terkini di Palestin.

"Dalam perbincangan tersebut, Presiden Joko Widodo dan saya bersetuju bahawa tindakan ganas rejim Israel harus dihentikan serta-merta.

"Kami juga berkongsi pandangan yang sama supaya komuniti antarabangsa terutama Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak segera bagi menghentikan keganasan rejim Israel dan menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.

"Dalam hal ini Malaysia akan menerajui bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Israel ke atas Palestin," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Isu Palestin: Malaysia sokong 'Penyelesaian Dua Negara

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, Perdana Menteri berkata, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC di peringkat Menteri-menteri Luar untuk membincangkan perkembangan terkini di Palestin yang dijangka berlangsung pada Ahad (16 Mei).

"Kerajaan Malaysia akan diwakili oleh Menteri Luar Negeri untuk menyertai mesyuarat tersebut bagi menegaskan pendirian Malaysia terhadap situasi di Palestin.

"Saya, sama seperti rakyat Malaysia yang lain sangat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan PBB untuk menghentikan serta-merta keganasan rejim Israel keatas Palestin.

"Sehingga kini, Majlis Keselamatan PBB belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi terkini di Palestin lantaran bangkangan daripada Amerika Syarikat," katanya.

Walaupun begitu, menurut Perdana Menteri, Malaysia akan terus berusaha menyeru komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB, untuk bertindak segera bagi memaksa Israel menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin.

"Saya ingin mengulangi pendirian berprinsip kerajaan Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya sama ada dari segi politik, ekonomi, dan moral," katanya.