X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga kuih terharu terima motosikal baharu

William Khoo (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan motosikal kepada Abdul Halim dalam satu majlis di Sungai Dua, Butterworth baru-baru ini.
A
A

BUTTERWORTH - Kemalangan di Bukit Mertajam dekat sini pada awal April lalu mengakibatkan motosikal milik Abdul Halim Lazim rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi.

Peniaga kuih berusia 52 tahun itu berkata, sebelum kejadian, dia dalam perjalanan untuk menghantar borang permohonan zakat.

Menurutnya, kemalangan kira-kira jam 2 petang itu menyebabkan kaki dan tangannya patah.

Sejak kejadian itu, katanya, dia bagaikan hilang punca apabila motosikal yang digunakan sejak 15 tahun lalu untuk melakukan rutin harian termasuk berniaga tersadai, sekali gus menjejaskan sumber pendapatannya.

"Dalam keadaan sekarang, manalah saya ada duit nak beli motosikal baharu tambahan pula perniagaan tak berapa memberangsangkan.

"Saya macam patah kaki apabila tidak ada motosikal. Namun keperitan yang dialami bertukar rasa apabila dimaklumkan ada pihak yang sudi membantu dengan menyumbangkan motosikal baharu untuk saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Abdul Halim menerima motosikal Modenas CT 100 sumbangan KB Soon Huat Motor Sdn Bhd yang disampaikan Pengarah Urusannya, William Khoo pada majlis sumbangan kepada asnaf di Sungai Dua di sini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Mohamad Yusoff Mohd Noor.

Menganggap sumbangan yang diterima adalah rezeki sempena Aidilfitri, Abdul Halim berkata, dia bersyukur kerana dipilih untuk menerima sumbangan itu walaupun bukan pelanggan tetap kedai motosikal berkenaan.

Sementara itu, William ketika ditemui berkata, program sumbangan kepada asnaf itu merupakan anjuran kali ketiga pihaknya sebagai tanggungjawab sosial syarikat dalam membantu golongan memerlukan.

Menurutnya, melalui program itu juga dapat menghargai pelanggan dan orang ramai yang selama ini menyokong perniagaan syarikatnya, selain mengeratkan lagi hubungan antara pihaknya dan masyarakat setempat.

"Kami rasa terpanggil untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik tanpa mengira agama dan bangsa, malah dengan cara ini dilihat ia dapat mengeratkan lagi perpaduan antara kita.

"Walaupun kami bukan peniaga bumiputera, tetapi selama ini ramai pelanggan Melayu yang ramai menyokong perniagaan kami. Jadi bantuan ini adalah tanda terima kasih kami kepada mereka," katanya.

Selain motosikal dan dua buah basikal yang disumbangkan, seramai 20 asnaf menerima bantuan keperluan asas dan duit raya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!