Kluster baharu Covid-19 dikesan di Sarawak: JPBN

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Satu lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini iaitu Kluster Sungai Rayah, Meradong yang melibatkan kawasan di Bahagian Sarikei, demikian menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Kenyataan JPBN memaklumkan Kluster Sungai Rayah merupakan kluster komuniti melibatkan sebuah rumah panjang di Bintangor dalam daerah Meradong dan sejumlah 50 individu telah disaring.

"Keputusan saringan mendapati 13 positif Covid-19 termasuk kes indeks manakala 37 kes lagi negatif. Kesemua kes positif Covid-19 telah dirujuk ke Hospital Sarikei serta PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah) di Sarikei dan Meradong bagi tujuan pengasingan,” menurut kenyataan itu.

Setakat ini, 82 kluster masih aktif di Sarawak dengan 12 kluster merekodkan 65 kes baharu manakala 71 kluster lagi tidak merekodkan penambahan kes.

JPBN turut melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rh. Payau, Emperan Datuk, Sungai Pinang di Pakan sehingga 27 Mei susulan penularan Covid-19 belum dapat dikawal sepenuhnya.

Hari ini, Sarawak mencatatkan 533 kes baharu Covid-19 dengan 324 atau 60.78 peratus daripada jumlah itu dikesan di daerah Miri, Kapit, Sibu, Bintulu dan Kuching sekali gus menjadikan jumlah kes kumlutif sebanyak 37,654.

Terdapat satu kematian baharu akibat jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 215 orang. - Bernama

Artikel Berkaitan: