Lebih 300 petugas KKM beraya di PKRC Kelantan

Petugas yang ditempatkan di PKRC Panji merakam gambar kenangan di pagi raya walaupun bukan beraya bersama keluarga seperti orang lain.
Petugas yang ditempatkan di PKRC Panji merakam gambar kenangan di pagi raya walaupun bukan beraya bersama keluarga seperti orang lain.
A
A
A

KOTA BHARU – Lebih 300 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ‘melupakan’ seketika sambutan Aidilfitri bagi memberi sepenuh perhatian membantu pesakit yang ditempatkan di 10 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, rata-rata petugas yang terlibat adalah dari negeri ini dan tidak kurang juga mobilisasi dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Pahang dan Melaka.

Menurutnya, mereka bertugas mengikut giliran dua syif yang telah ditetapkan bagi memastikan mereka turut mendapat ruang rehat walaupun hanya untuk menghilangkan lelah seketika.

“Setiap PKRC akan melibatkan empat atau lima orang pegawai perubatan dan mereka akan bertugas mengikut giliran syif jam 8 pagi hingga 5 petang dan 5 petang hingga 8 malam.

“Untuk penolong pegawai perubatan pula seramai lima orang dalam satu-satu masa dan memulakan tugas jam 7 pagi hingga 7 malam dan selanjutnya 7 malam hingga 7 pagi.

“Sama juga dengan pembantu perawatan, giliran syif yang sama juga kita gunakan dan melibatkan empat orang dalam satu-satu masa di setiap PKRC yang kita ada,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Menurutnya, jumlah tersebut tidak termasuk petugas-petugas di hospital yang juga turut ‘beraya’ di lokasi tugasan masing-masing terutamanya mereka yang perlu menjaga Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sebagainya.

Beliau berkata, walaupun pengorbanan petugas-petugas ini tidak nampak daripada pandangan luar, namun mereka telah melakukan yang terbaik bagi memastikan pesakit-pesakit semua mendapat kebajikan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

“Petugas-petugas ini berdepan risiko jangkitan namun mereka kuatkan semangat, pakai baju pelindung, lakukan tugas sebaik mungkin bagi memastikan pesakit berada dalam keadaan baik,” katanya.

Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, cuti 14,000 kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dibekukan, termasuk cuti Aidilfitri berikutan situasi semasa pandemik berkenaan di negeri ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin yang mana ia melibatkan kakitangan di semua peringkat dan jabatan.