Peruncit, pemborong dan pengeluar ingkar dikompaun

Penguatkuasa KPDNHEP membuat pemantauan harga di salah sebuah pasar raya.
Penguatkuasa KPDNHEP membuat pemantauan harga di salah sebuah pasar raya.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 84 kompaun dikenakan terhadap peruncit, pemborong dan pengeluar di Johor kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak meletakkan tanda harga serta menjual melebihi harga kawalan sepanjang Ops Pantau 2021 bermula 21 April lalu.

Exco Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr Chong Fat Full berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 5,900 premis telah diperiksa meliputi 5,797 peruncit, 63 pemborong dan 40 pengeluar sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021.

"Hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan setiap hari oleh 200 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), kita mendapati secara keseluruhan 98.5 peratus peniaga dari sejumlah 5,900 premis peruncit, pemborong dan pengeluar mematuhi penguatkuasaan SHMMP sepanjang dilaksanakan.

"Bagaimanapun sebanyak 84 kes telah dihasilkan sepanjang tempoh berkenaan dengan nilai kompaun sebanyak RM 11,550," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, 57 kes dikesan atas kesalahan gagal mematuhi Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 kerana tidak meletakkan tanda harga kepada barangan yang dipamer untuk jualan.

Selain itu, 16 kes kesalahan kerana gagal mematuhi Seksyen 11, Akta Kawalan harga dam Anti Pencatutan 2011 iaitu menjual melebihi harga kawalan yang telah ditetapkan dan 11 kes kerana kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

"Pemeriksaan barangan keperluan harian ini akan ditingkatkan bagi memastikan peniaga barangan harian dan keperluan terutamanya di lokasi tumpuan orang ramai seperti di pasar dan pasar raya agar mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

"Malah, pemantauan terhadap stok bekalan barangan keperluan juga dibuat agar mencukupi sepanjang tempoh musim perayaan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

"KPDNHEP Johor juga memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan sepanjang musim perayaan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah mencukupi," katanya.