Lindungi pelajar pergigian

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

ANTARA norma baharu bagi melindungi diri daripada jangkitan virus Covid-19 adalah mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

Ini adalah cara terbaik untuk selamat, walaupun sudah disuntik dengan dua dos vaksin. Vaksin bukannya ubat tetapi ikhtiar agar antibodi kita mampu melawan virus Covid-19.

Virus Covid-19 sangat berbahaya kerana boleh tersebar hanya melalui titisan dari hidung atau mulut seseorang yang telah dijangkiti apabila ia batuk atau bersin. Kes jangkitan virus ini semakin tinggi berikutan kesan penularannya yang mudah merebak melalui udara, sentuhan dan air liur.

Mengapa pelajar pergigian amat berisiko tinggi dijangkiti virus Covid-19 ini?

Dalam lima tahun pengajian untuk menjadi doktor pergigian, tahun kedua merupakan pra-klinikal manakala tahun ketiga, keempat dan kelima merupakan tahun klinikal yang memerlukan mereka memberikan rawatan kepada pesakit dengan pemantauan pensyarah.

Jika dibandingkan dengan pelajar perubatan, pelajar pergigian lebih berisiko tinggi kerana mereka perlu duduk sangat dekat dengan pesakit, mereka harus menyentuh pesakit terutama di kawasan muka dan mulut. Pesakit juga tidak memakai pelitup muka ketika mendapat rawatan atau menjalani pemeriksaan.

Rawatan pergigian melibatkan rongga mulut. Aerosol dan percikan yang terhasil daripada alat pergigian seperti skaler ultrasonik, handpiece berkelajuan tinggi serta alat semburan air, mengandungi 100,000 mikroorganisma.

Aerosol ialah partikel kecil yang mempunyai diameter kurang daripada 50 mikrometer dan berada di udara dalam jangka masa yang panjang. Spatter (partikel besar) pula ialah zarah udara yang lebih besar daripada 50 mikrometer.

Artikel Berkaitan:

Terdapat bukti bahawa aerosol pergigian dapat mencapai jarak satu hingga tiga meter daripada sumbernya. Sebaliknya, spatter mencapai jarak yang lebih dekat dan menetap dengan cepat.

Aerosol gigi berasal daripada komponen air liur, rembesan nasofaring, plak, darah, komponen gigi dan sebarang bahan yang digunakan dalam prosedur pergigian.

Aerosol mungkin kekal di udara untuk jangka masa panjang dan spatter yang terbentuk akan berada di permukaan berdekatan. Aerosol dan percikan yang terhasil semasa prosedur pergigian mungkin mengandungi virus Covid-19 dan ini merupakan ancaman terhadap kesihatan doktor gigi dan kakitangan yang berada berdekatan pesakit.

Semasa rawatan pergigian, pasukan pergigian yang terdedah kepada sejumlah besar splatter dan aerosol menjadikan mereka mempunyai risiko besar untuk dijangkiti dan seterusnya menyebarkan penyakit berjangkit, termasuk Covid-19.

Kos operasi pendidikan dan latihan pergigian juga dijangka meningkat dengan ketara kerana sekitar 60 peratus aktiviti pengajaran dan pembelajaran berlaku semasa interaksi klinikal.

Penggunaan PPE lebih banyak jika dibandingkan dengan pelajar perubatan. Sebab itulah banyak pusat pengajian pergigian (termasuk di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian) terpaksa membeli kain jenis PPE dan menjahitnya sendiri bagi menampung stok PPE, terutama gaun isolasi yang harus dipakai buang.

Oleh itu, selain peralatan PPE yang perlu ditambah, pemberian vaksin juga harus mengutamakan kumpulan ini. Petugas kesihatan sudah mendapat dua dos vaksin. Kini, diharap pelajar pergigian juga akan mendapat vaksin dalam masa terdekat.

*Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia