PKPD Bunut Susu: 1,500 penduduk jalani saringan Covid-19

Anggota polis membuat kawalan di Jalan Bunut Susu, Mukim Bunut Susu, Pasir Mas berikutan kawasan tersebut dilaksanakan PKPD bermula 9 hingga 22 Mei.
Anggota polis membuat kawalan di Jalan Bunut Susu, Mukim Bunut Susu, Pasir Mas berikutan kawasan tersebut dilaksanakan PKPD bermula 9 hingga 22 Mei.
A
A
A

PASIR MAS - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjangka ujian saringan pertama Covid-19 melibatkan 1,500 penduduk di tiga perkampungan dalam Mukim Bunut Susu di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selesai sepenuhnya Selasa ini.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sehingga Sabtu, terdapat peningkatan ujian saringan Covid-19 melibatkan penduduk di Kampung Paya Ular, Kampung Tualang dan Kampung Bechah Palas.

“Jumlah saringan dalam kalangan penduduk di tiga kampung berkenaan telah mencecah antara 70 peratus sehingga 90 peratus.

“Setakat ini seramai 349 daripada 500 penduduk di Kampung Tualang telah disaring iaitu hampir 70 peratus, manakala di Kampung Bechah Palas seramai 655 daripada 908 penduduk telah disaring (72 peratus) dan Kampung Paya Ular melibatkan 474 daripada 477 penduduk telah disaring (99.4 peratus),” katanya ketika pada Ahad.

Kerajaan telah mengumumkan PKPD di tiga perkampungan itu bermula hari ini sehingga 22 Mei selepas menyaksikan kenaikan kes mendadak selain kadar positif jangkitan Covid-19 juga tinggi.

Beliau turut menggesa penduduk yang terlibat supaya tampil menjalani ujian saringan Covid-19 secepat mungkin dalam usaha mencegah penularan wabak itu.

“Kita gunakan hebahan khidmat ketua kampung dan ketua masyarakat untuk mengadakan hebahan agar penduduk kampung tampil untuk melakukan ujian saringan Covid-19 di pondok kesihatan yang telah ditempatkan di setiap kampung,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM200,000 sebagai bantuan barang dapur untuk diagihkan kepada penduduk yang terlibat dengan PKPD di Mukim Bunut Susu.

Artikel Berkaitan:

“Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob telah meluluskan sebanyak RM200,000 daripada peruntukan Serambi Mekah untuk membantu penduduk di tiga kampung di Mukim Bunut Susu yang dikenakan PKPD.

“Peruntukan ini akan melibatkan bantuan barang dapur yang akan diberikan selama dua minggu sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan. Kita berharap dengan adanya peruntukan ini ia dapat meringankan beban mereka yang terlibat,” katanya. - Bernama-