X

Kindly register in order to view this article
!

Tanda tanya mengenai Skypark

A
A

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) diuar-uarkan sebagai kerajaan Melayu-Islam. Maka banyak jugalah orang Melayu dan orang Islam yang percaya dengan cogan kata itu.

Malangnya, oleh sebab kebanyakan orang Melayu-Islam tidak terbabit secara langsung dalam perniagaan dan kurang kefahaman mengenai ekonomi maka mereka tidak tahu apakah sumbangan kerajaan Melayu-Islam kepada mereka dari segi ekonomi dan kebajikan.

Seperkara lagi, mereka masih bergantung kepada media arus perdana, khususnya televisyen sebagai sumber utama berita dan maklumat.

Saya tidak pasti berapa ramai orang Melayu-Islam dan media arus perdana berbahasa Melayu yang terlibat dengan perbahasan mengenai kemungkinan kerajaan menjual satu lagi harta negara kepada sebuah syarikat swasta milik usahawan Cina.

Media atas talian dan media sosial melaporkan yang kerajaan mungkin menswastakan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di Subang atau dikenali juga sebagai Subang Skypark di Selangor kepada syarikat WCT Holdings Berhad yang dikuasai oleh Tan Sri Desmond Lim Siew Choon.

Orang Melayu-Islam yang pernah pergi bersiar-siar di pusat beli-belah eksklusif The Pavilion di Bukit Bintang, Kuala Lumpur mungkin tidak tahu bahawa ia adalah milik Desmond Lim.

Lagi pun, buat apa orang Melayu-Islam hendak ambil tahu mengenai pusat beli-belah itu kerana bukannya ada banyak kedai Melayu-Islam atau barang yang dijual di situ mampu dibeli oleh orang Melayu-Islam.

Yang mungkin sesetengah orang Melayu-Islam pernah dengar adalah di kompleks inilah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor menyimpan duit tunai, emas permata dan barang-barang berharga yang bernilai ratusan juta ringgit.

Antara sebabnya adalah tauke The Pavilion itu dikatakan sangat akrab dengan Najib dan isterinya.

Walaupun tidak dikenali ramai seperti tauke-tauke Cina yang lain, Desmond Lim adalah antara orang paling kaya di Malaysia dan amat berpengaruh ketika pemerintahan Najib.

Kalau betul dia akan mendapat hak membangunkan kompleks Skypark, jelaslah yang dia juga berpengaruh dengan kerajaan Melayu-Islam PN hari ini.

Dalam penjelasan kepada Bursa Malaysia, WCT mendakwa ia bukan meminta penswastaan Skypark tetapi mencadangkan rundingan semula konsesi mengurusnya.

Tidak banyak orang tahu yang konsesi pengurusan Skypark dipegang oleh Lim dan syarikatnya. Perlu difahami bahawa melalui rundingan semula, terma dan bidang kuasa konsesi boleh dipinda demi kepentingan pemegang konsesi.Soalnya, apakah tidak ada syarikat bumiputera atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mampu mengurus Skypark dan melaksanakan projek baharu sama ada secara bersendirian atau usaha sama?

Adakah wajar kerajaan memberi sebidang lagi tanah milik negara kepada usahawan Cina setelah baru saja memberikan tapak Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seluas 197 hektar kepada Tan Sri Lim Kang Hoo untuk dimajukan menjadi Bandar Malaysia dengan rakan kongsinya, China Railway Engineering Construction (CREC) iaitu sebuah syarikat milik kerajaan China?

Sementelah syarikat WCT yang diuar-uarkan akan mendapat penswastaan Skypark itu sudah pun memperoleh projek raksasa membina Lebuhraya Pantai Barat sepanjang 313 kilometer dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak yang masih belum selasai.

Tidak kira kerajaan mana yang memerintah, kalau projek raksasa diberikan kepada bukan bumiputera, macam mana kita hendak sempitkan jurang ekonomi di antara bumiputera dengan bukan bumiputera yang semakin melebar sekarang?

Maaf cakaplah, kalau Skypark diswasta tidak mustahil ia akan menjadi seperti The Pavilion di mana kemewahannya, secara automatik akan meminggirkan orang Melayu-Islam.

Ini bercanggah sama sekali dengan mantera bahawa rampasan kuasa oleh PN tahun lalu adalah bagi mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu-Islam.Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!