Saingan Piala Sultan Azlan Shah batal

Subahan
Subahan
A
A
A

KEJOHANAN Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2021 yang dijadual berlangsung 18 hingga 27 Jun ini dibatalkan berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, keputusan itu turut mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan kejohanan tersebut dijangka akan berlangsung pada April tahun depan.

"Bagaimanapun, kalau ada kemungkinan keadaan bertambah baik dan kita boleh menjemput pasukan dari luar negara, mungkin Disember ini boleh dipertimbangkan... bergantung kepada situasi pandemik dan perkenaan baginda,” katanya pada sidang media secara dalam talian selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif pada Sabtu.

Selain itu, menerusi mesyuarat sama, beliau berkata, KHM turut memperkenalkan syarat tambahan baharu bagi pemain yang mahu memohon Sijil Tiada Bantahan (NOC) untuk bermain di kejohanan luar negara.

Beliau berkata, mana-mana atlet pemain yang mahu beraksi di luar negara perlu mendapatkan NOC daripada persatuan negeri terlebih dahulu sebelum dihantar ke KHM.

"Ada beberapa pemain yang dapat kebenaran dan bekerjasama dengan beberapa kelab individu (bukan persatuan hoki). Tetapi, nampak macam kelab individu ini seolah-olah membantu dan memperjuangkan kebajikan atlet.

"Biar saya jelaskan, jika mana-mana pemain ingin beraksi di luar negara, KHM tidak ada bantahan tetapi mereka perlu melalui persatuan negeri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata KHM akan berhubung dengan kelab-kelab dan penganjur di luar negara untuk mendapatkan maklumat tentang tawaran tersebut dan memastikan kelab individu tidak berbuat demikian bagi mengaut keuntungan. - Bernama

Artikel Berkaitan: