13 ditahan ketika sedang leka berparti liar

13 individu yang ditahan dalam serbuan Ops Parti Liar di sebuah premis di Jalan Imbi, Kuala Lumpur pada Sabtu.
13 individu yang ditahan dalam serbuan Ops Parti Liar di sebuah premis di Jalan Imbi, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 13 individu yang sedang leka berparti liar di bawah pengaruh dadah ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Imbi, di sini pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan Ops Parti Liar kira-kira jam 2.45 pagi itu dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurutnya, kesemua mereka berusia lingkungan 19 hingga 39 tahun termasuk lapan wanita.

"Operasi turut menemui serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin. Hasil ujian saringan air kencing mendapati 12 daripada mereka positif dadah termasuk seorang wanita yang merupakan penjawat awam.

"Tindakan diambil di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan mendapati penganjuran parti liar itu didalangi salah seorang wanita berusia 32 tahun dengan undangan dibuat menerusi aplikasi WhatsApp membabitkan kenalan rapat.

Menurutnya, premis itu pula disewa melalui ejen rumah iaitu seorang lelaki warga Bangladesh pada Jumaat dengan bayaran RM180 sehari.

"Penganjur membeli empat paket dadah ketamin dengan harga RM400 untuk berhibur," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Zainal, kesemua yang ditangkap direman selama tiga hari untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihaknya turut mengenakan tindakan kompaun ke atas semua yang ditahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.2)(Pindaan)(No.5) 2021.