X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 04 Disember 2021

Serik tiga jari kanan hancur angkara mercun

Mohd Adam Hakimi ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu. - Foto Ihsan Mohd Riduan
A
A

BESUT - "Saya benar-benar menyesal," kata Muhammad Adam Hakimi Muhamad Sabri, 16, yang hancur tiga jari kanannya dan kabur mata kiri akibat terkena mercun dalam kejadian di Kampung Kelubi Putih, Jabi di sini pada 23 April lalu.

Dia juga mengakui sudah serik dan berjanji untuk tidak menyentuh mercun selepas ini.

Malah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jabi itu tidak menyangka kejadian yang berlaku selepas berbuka puasa pada 11 Ramadan lalu mengubah fizikalnya buat selama-lamanya.

Menceritakan kejadian, bapa angkatnya, Mohd Riduan Ismail, 42, berkata, Muhammad Adam Hakimi yang dijaga sejak kecil keluar rumah selepas berbuka puasa bersama keluarga kira-kira jam 7.30 malam.

"Sebelum kejadian, dia ada beritahu mahu keluar berjalan selepas berbuka puasa dan solat maghrib.

"Tidak lama selepas itu, kami sekeluarga terkejut kerana dia tiba-tiba pulang ke rumah dalam keadaan tangan dan muka berlumuran darah. Tiga jari tangan kanannya hancur akibat terkena mercun batang paip," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Mohd Riduan berkata, dia segera membawa anaknya ke Hospital Besut sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira sejam selepas itu.

Mohd Adam Hakimi (tengah) menerima kunjungan Pemuda Pas Jabi di kediamannya di Kampung Kelubi Putih, Jabi baru-baru ini.
Mohd Adam Hakimi (tengah) menerima kunjungan Pemuda Pas Jabi di kediamannya di Kampung Kelubi Putih, Jabi baru-baru ini.

"Dalam perjalanan ke Kuala Terengganu, hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu perasaan saya. Ketika itu saya hanya mampu berdoa supaya anak saya dapat diselamatkan.

"Saya reda dengan apa yang berlaku. Mungkin sudah ketentuan sebab setahu saya, selama ini anak saya tidak pernah bermain mercun. Saya percaya ini kali pertama dia sentuh mercun dan ingin mencuba meletupkan sendiri mercun," katanya.

Mohd Riduan berkata, Muhammad Adam Hakimi kini dibenarkan pulang ke rumah selepas lebih seminggu dirawat di HSNZ.

Bagaimanapun, katanya, tahap kesihatan anak sulung daripada enam beradik itu masih belum memuaskan kerana belum pulih sepenuhnya.

"Anak saya masih dalam pemantauan dan rawatan. Saya harap dia segera pulih," katanya.

Mohd Riduan turut menasihatkan remaja supaya mengambil pengajaran daripada kejadian menimpa anaknya itu.

"Bagi yang berjinak-jinak dengan mercun, saya harap dapat berfikir dua kali sebelum mencuba. Beringat sebelum kena kerana malang tidak berbau.

"Apabila sudah hilang jari, ia hilang selama-lamanya, tidak boleh dikembalikan seperti sedia kala," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!