X

Kindly register in order to view this article
!

Pemadam api meletup: Bomba Perak tunggu laporan penuh

Azmi memeriksa sistem keselamatan kebakaran sebuah pusat membeli belah di Ipoh pada program Kempen Keselamatan Kebakaran Bagi Penghapusan Bahaya Kebakaran Sempena Musim Perayaan, pada Jumaat.
A
A

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sedang menunggu laporan penuh siasatan kes alat pemadam api meletup di sebuah premis Jalan Hussin Nordin, Taman Pearl, di sini pada 5 Mei lalu.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, satu jawatankuasa siasatan mengenai kejadian itu telah dibentuk bagi mencari punca berlakunya letupan tersebut.

Menurut beliau, sebarang kesimpulan atau rumusan mengenai punca kejadian belum dapat dibuat setakat ini sehingga laporan penuh jawatankuasa siasatan tersebut diserahkan.

"Kita sedang siasat punca alat pemadam api meletup, adakah disebabkan kelalaian atau keadaan fizikal alat pemadam api berkenaan. Namun begitu kita telah rujuk kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan berkenaan dan kenyataan lanjut mengenainya akan dikeluarkan.

"Kita tunggu laporan bahagian forensik, kita juga menilai semua aspek adakah terdapat unsur lain dan kita akan hantar sampel ke makmal atau syarikat berpengalaman bagi menganalisis apa yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada program Kempen Keselamatan Kebakaran Bagi Penghapusan Bahaya Kebakaran Sempena Musim Perayaan di sebuah kompleks membeli belah, di sini pada Jumaat.

Pada Rabu lalu, seorang lelaki nyaris maut apabila sebuah alat pemadam api meletup dalam kejadian di sebuah premis Jalan Hussin Nordin, Taman Pearl, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 47 tahun cedera parah dengan bahagian lutut kaki kanannya hampir putus, manakala dua rakannya cedera ringan.

[Artikel berkaitan: Alat pemadam api meletup, lelaki hampir putus kaki] https://www.sinarharian.com.my/article/137149/BERITA/Semasa/Alat-pemadam-api-meletup-lelaki-hampir-putus-kaki

Sementara itu, mengenai pemeriksaan premis membeli belah bagi penghapusan bahaya kebakaran, Azmi menjelaskan sebanyak 87 daripada 150 premis telah diperiksa setakat ini.

Katanya, pemeriksaan tersebut dilaksanakan dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri dan dua minggu selepas perayaan tersebut bagi memastikan semua pusat-pusat membeli belah mempunyai sistem keselamatan kebakaran berfungsi dengan baik.

"Sekiranya terdapat kelemahan dalam sistem kebombaan yang ditetapkan, maka kita akan mengemukakan notis A untuk memberikan peringatan dan tempoh tertentu kepada pemilik supaya mereka dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan berkenaan.

"Sehingga hari ini berdasarkan analisis dan pemeriksaan dibuat, antara kesalahan kerap berlaku ialah lampu tanda keluar yang tidak berfungsi, tangga terhalang dan pintu keluar terhalang," katanya.

Menurutnya, pihak JBPM Perak tidak akan berkompromi dengan keadaan tersebut kerana apabila berlaku sesuatu insiden, pengunjung tidak dapat melepaskan diri atau menyelamatkan diri jika laluan ini terhalang.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini semua premis pusat membeli belah di negeri ini mematuhi arahan serta notis yang dikeluarkan dengan segera bagi mengelak sebarang risiko kepada pengunjung.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!