Masjid ditutup selepas jemaah positif Covid-19

Masjid Qaryah Ibnu Khaldun Lavender Height di Taman Lavender Height diarah tutup sehingga 12 Mei.
Masjid Qaryah Ibnu Khaldun Lavender Height di Taman Lavender Height diarah tutup sehingga 12 Mei.
A
A
A

SEREMBAN - Menjelang seminggu sambutan Aidilfitri, Masjid Qaryah Ibnu Khaldun Lavender Height di Taman Lavender Height di sini diarah tutup sementara selama tujuh hari susulan Covid-19.

Berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), arahan penutupan itu bermula Khamis selepas waktu Asar hingga Rabu depan.

Menurutnya, keputusan penutupan itu dibuat berdasarkan syor daripada Pejabat Kesihatan Daerah Seremban bagi memberi ruang untuk proses mengenal pasti kontak rapat kes positif Covid-19.

"Sebarang perubahan tertakluk kepada arahan pihak berkuasa dari masa ke masa," katanya.

Sementara itu Pengerusi Masjid Qaryah Ibnu Khaldun Lavender Height, Mohd Hamka Abd Tani ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan arahan penutupan itu.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak dapat memberikan maklumat tepat berkenaan jumlah jemaah disahkan positif Covid-19 tetapi perkara itu telah dimaklumkan kepada jemaah yang didapati mempunyai kontak rapat agar membuat saringan.

"Ada yang telah buat saringan di luar dan didapati positif. Jadi buat sementara ini saya nasihatkan kepada jemaah yang ada sebarang gejala berkaitan Covid-19 supaya buat saringan.

"Jika yang ada kontak rapat dengan mereka didapati positif duduk di rumah dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, pihak masjid juga telah pun mengambil tindakan sewajarnya dengan membuat sanitasi.

.