‘MB Kedah jangan keterlaluan’

Tosrin Jarvanthi - Foto DUN Johor
Tosrin Jarvanthi - Foto DUN Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dianggap tidak profesional dan keterlaluan apabila menyifatkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) bersikap ala samseng ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman pada malam Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi berkata, kenyataan Muhammad Sanusi tidak sepatutnya keluar daripada seorang pemimpin utama negeri.

“Apabila beliau menyatakan pemain bola JDT nampak kerek dan nampak ‘gedebe’, bagi saya ia amat keterlaluan.

“Setiap pasukan mempunyai maruah, begitu juga pasukan dari Kedah dan JDT. Kalah dan menang adalah adat perlawanan. Kenyataan sebegini boleh menyinggung perasaan rakyat dan bangsa Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kulai berkata, kenyataan Presiden KDA FC itu langsung tidak mempunyai semangat kesukanan.

Katanya, sesuatu peristiwa yang terjadi pasti ada sebabnya dan setiap perkara itu perlu dilihat secara keseluruhan.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi menyatakan pasukan JDT tidak menghormati tuan rumah biar pun bertandang ke ‘kampung’ KDA FC.

Ia susulan kekecohan pada tamat separuh masa pertama apabila berlaku perang mulut antara jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak dan penyerang JDT, Gonzalo Cabrera.

Artikel Berkaitan:

Kekecohan di padang itu berlanjutan hingga ke dalam terowong menuju ke bilik persalinan, namun segalanya reda sebelum perlawanan bersambung dengan Cabrera serta Aidil dilihat berpelukan apabila kembali semula ke padang.