Mama, adik dah Darjah Tiga ke?

PdPR akan dimulakan semula bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.
PdPR akan dimulakan semula bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.
A
A
A

SEMALAM, Merak Jalanan berpeluang berbuka puasa dengan rakan sepejabat. Punyalah sibuk bekerja sehingga perlu buat temu janji hendak berbuka puasa bersama.

Kawan Merak Jalanan merupakan ibu kepada lima cahaya mata, comel-comel anak-anaknya. Sebagai wanita bekerjaya dan pada masa sama menjadi ibu serta isteri, Merak Jalanan kagum dengan tenaga dan iltizam yang terpamer pada sosok tubuh wanita itu.

Ketika menikmati juadah berbuka daging salai masak lemak cili padi, tiba-tiba kawan Merak Jalanan yang dikenali sejak 2009 itu mengeluh.

“Saya pening betul, lepas raya nanti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula. Dua minggu, lepas tu sambung cuti sekolah lagi.

“Sudahlah kerja kita macam ni, tak tentu masa. Awak bayangkan ya, anak-anak di rumah mesti jadi aktif sebab tak berpeluh seperti di sekolah,” ujarnya.

Merak Jalanan hampir tersembur air sirap ketika kawan Merak Jalanan menyambung ceritanya.

“Awak tahu tak apa anak nombor dua saya tanya? Mama, buka sekolah nanti adik dah naik Darjah Tiga ke?"

“Tengoklah, budak-budak pun dah keliru sebab cuti dan duduk di rumah terlalu lama. Dia ingat dah hujung tahun agaknya,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Md Jidin mengumumkan PdPR akan dimulakan semula bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.

Sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (sekolah-sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Iktibar kisah ini, bukan hanya kawan Merak Jalanan terkesan pandemik, malah semua orang. Teruslah berdoa dan kekalkan SOP yang ditetapkan kerajaan.