Bukan permohonan 'lockdown', hanya hantar laporan Covid-19

Ahmad (kiri) menerima sumbangan sebanyak RM1 juta daripada PKINK untuk diserahkan kepada Tabung Serambi Mekah bagi membantu mangsa Covid-19 di pejabat beliau di Kota Bharu pada Rabu.
Ahmad (kiri) menerima sumbangan sebanyak RM1 juta daripada PKINK untuk diserahkan kepada Tabung Serambi Mekah bagi membantu mangsa Covid-19 di pejabat beliau di Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan menafikan membuat permohonan kepada kerajaan Pusat untuk melaksanakan 'lockdown' atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat di negeri berkenaan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sebaliknya berkata, kerajaan negeri hanya menghantar laporan terkini situasi terkini Covid-19 di negeri ini kepada kerajaan Pusat.

"Hanya laporan terkini Covid-19, bukan permohonan 'lockdown'," katanya ketika diminta mengulas laporan media tempatan pada Selasa yang mendakwa kerajaan negeri mengemukakan permohonan untuk melaksanakan 'lockdown'.

Ahmad menegaskan, laporan terkini berkaitan Covid-19 itu bagi membolehkan kerajaan Pusat menimbangkan apa-apa langkah bersesuaian dengan keadaan sedang berlaku di Kelantan.

"Antara laporan yang dikemukakan ialah kewujudan Variant South Africa B1.351 dengan kadar penularan sangat tinggi. Kadar kebolehjangkitan kes masih melebihi 1.0 (RT:1.21) dan bilangan kes yang dilaporkan setiap hari adalah tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya pada Rabu selepas menerima sumbangan sebanyak RM1 juta daripada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) untuk diserahkan kepada Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah) bagi membantu mangsa Covid-19.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Ab Aziz Yunus.

Sementara itu, Ahmad berkata, terdapat peningkatkan kes aktif yang tinggi di negeri ini iaitu 264 peratus dalam tempoh 14 hari.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, kes kematian akibat Covid-19 dalam tempoh satu minggu kebelakangan ini juga meningkat dan jangkitan telah berlaku dalam komuniti di mana 1 peratus kes tiada kaitan epidemiologi.

"Pengurusan sumber manusia dan logistik kesihatan juga semakin meruncing di mana Bed Occupancy Rate (BOR) hospital semakin tinggi dan tidak mampu menampung pertambahan kes.

"BOR Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) tidak mencukupi dan perlu ditambah bilangannya, manakala BOR Stesen Kuarantin juga tidak mencukupi," katanya.

Selain itu, beliau berkata, bilangan pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah di negeri ini turut mencatat peningkatan, malah kemampuan tenaga mahir perubatan dan sokongan semakin terhad akibat peningkatan kes yang luar biasa.

"Jika kita laksana 'lockdown', banyak perkara yang perlu diambil kira terutama dari sudut ekonomi, sosial dan sebagainya," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, buat masa ini kerajaan negeri masih belum menerima sebarang maklum balas berkaitan laporan Covid-19 yang dihantar kepada kerajaan Pusat.

Menurutnya, segala keputusan akan dikeluarkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mereka berbincang di peringkat jawatankuasa teknikal untuk membuat penilaian.

Katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meminta supaya kerajaan negeri bergerak seiring dengan kerajaan Pusat dalam membuat keputusan berkaitan PKP.

Pada Selasa, media tempatan melaporkan kerajaan negeri Kelantan telah mengemukakan permohonan sebanyak dua kali untuk melaksanakan 'lockdown' di negeri berkenaan.