Johor peruntuk RM6.4 juta selenggara kemudahan SUKMA

Foto Fail Bernama
Foto Fail Bernama
A
A
A

KERAJAAN Johor menerusi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) memperuntukkan sebanyak RM6.4 juta setahun bagi menyelenggara kemudahan dan tempat untuk Sukan Malaysia (Sukma) di negeri itu.

Pengarah MSNJ, Nor Syazlan Abd Razak berkata, usaha itu bertujuan memastikan tiada kerosakan berlaku terhadap kemudahan berkenaan akibat tidak digunakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita sentiasa memastikan penyelenggaraan stadium, venue dan kemudahan sukan diteruskan kerana kita tidak mahu apabila SUKMA dijalankan dan kita menjadi tuan rumah, segala kemudahan sukan tersebut tidak dapat digunakan.

"Di peringkat MSNJ juga sudah memperuntukkan dana untuk stadium-stadium tersebut dan kita telah membuat jadual penggunaan stadium dari segi program dan latihan tetapi perancangan tersebut (jadual program dan latihan) tidak boleh dijalankan kerana PKP.

"Mengenai penyelenggaraan, kita dah lakukan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog Johor Sports Master Plan 2030 di sini pada Isnin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Mengenai status terkini cadangan pembinaan Combat Centre atau pusat pertempuran, Onn berkata, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) kini dalam proses membawa kertas cadangan mengenai pusat itu kepada kerajaan negeri untuk kelulusan.

"Combat Centre merupakan pusat sukan tempur melibatkan pusat latihan dan juga tempat pertandingan, yang mana semua sukan tempur ditempatkan dalam bangunan sama, iaitu di Nusa Duta.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah peruntukkan RM4.5 juta bagi aktiviti sukan tempur tetapi dari segi penyelarasan, elaun dan sebagainya kita perlu pertimbangkan semula berdasarkan kekangan kewangan yang kita lalui," katanya.

Mengulas mengenai sesi dialog itu, Onn berkata, antara isu yang diutarakan Persatuan Sukan Negeri Johor termasuk pemilihan jurulatih, bantuan kewangan tambahan dan permohonan penyediaan pusat latihan persendirian bagi acara sukan tertentu.

Jelasnya, semua perkara yang diutarakan itu adalah wajar dan mampu dipertimbangkan berdasarkan keperluan atlet.