X

Kindly register in order to view this article
!

Yusuf Azmi ambil iktibar insiden tampar warga asing

Kenyataan Yusuf di Facebook beliau pada Selasa.
A
A

SHAH ALAM - Berikutan tindakannya menampar seorang warga asing menjadi tular pada Isnin, Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi mengambil iktibar daripada kejadian tersebut.

Menurut Yusuf, beliau akan bertindak lebih profesional selepas ini terutama ketika turun padang bagi membela nasib pengguna yang menjadi mangsa penganiayaan dan penindasan.

Menerusi kenyataan Facebook beliau pada Selasa, Yusuf berkata, beliau akan mengambil pendekatan lebih berhemah selepas ini.

Menceritakan kejadian pada Isnin lalu, Yusuf berkata, insiden berlaku apabila pihaknya mendapat tahu warga asing berkenaan menciplak hasil rekaan baju-T Semboyan Jihad keluaran Semboyan Malaysia.

Menurutnya, isu cetak rompak itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia mendatangkan kerugian besar serta mencalarkan imej jenama syarikat Semboyan Malaysia.

"Siapa sangka sudah penat bersengkang mata siang dan malam mencari idea demi menghasilkan rekaan terbaik, namun malangnya hasil titik peluh tersebut dicuri sewenang-wenangnya.

"Jadi apa yang boleh disimpulkan, hal ini bukanlah satu isu yang boleh diambil ringan kerana ia sedikit sebanyak mendatangkan kerugian besar, sekali gus mencalarkan imej 'branding' syarikat Semboyan Malaysia sendiri," katanya menerusi Facebook pada Selasa.

Beliau berkata, Semboyan Malaysia terkilan dengan perbuatan warga asing dengan sewenang-wenangnya mengaut keuntungan mudah tanpa perlu mencari idea menghasilkan rekaan baju-T sendiri.

"Lebih menyedihkan apabila usaha keras dalam mengeluarkan baju-T Jihad Semboyan selama ini seolah-olah telah dipermainkan begitu sahaja," ujarnya.

Yusuf juga menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati membeli barangan menerusi jualan di mana-mana tempat.

Pada Isnin, tular rakaman video berdurasi 1 minit 21 saat memaparkan seorang warga asing dipukul sekumpulan lelaki di kaki lima sebuah kedai.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis akan menyiasat video berkenaan yang didakwa berlaku di Taman Alam Jaya, Batu 9, Cheras.

"Insiden ini jelas merupakan kejadian kekerasan jenayah yang boleh disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan," kata Mohd Zaid.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!