X

Kindly register in order to view this article
!

‘Pinda dahulu perlembagaan’

Pindaan Perlembagaan perlu dilakukan terlebih dahulu berhubung isu siapa patut menjadi Pengerusi SPP.
A
A

SHAH ALAM - Pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan terlebih dahulu bagi membolehkan jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) diberikan kepada golongan profesional seperti seorang hakim atau bekas hakim.

Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, SPP ditubuhkan mengikut Perkara 140 (3)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan jawatan pengerusi kepada menteri yang bertanggungjawab ke atas pasukan polis (Menteri Dalam Negeri).

Menurutnya, pindaan terhadap jawatan pengerusi itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Maknanya Perlembagaan telah menetapkan bahawa menteri yang dipertanggungjawabkan itu sebagai Pengerusi SPP.

“Sekiranya dicadangkan kepada individu lain yang harus mengambil tanggungjawab sebagai pengerusi, maka ia memerlukan kepada pindaan undang-undang terutamanya pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Pada saya cadangan itu baik dan saya setuju,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pakar Perundangan, Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, pindaan tersebut wajar bukan sahaja melibatkan polis tetapi badan berkanun lain bagi memastikan tiada campur tangan politik dalam pelantikan pegawai tinggi.

Kontroversi tercetus selepas Abdul Hamid (kiri) mendakwa Hamzah mencampuri urusan dalaman PDRM.
Kontroversi tercetus selepas Abdul Hamid (kiri) mendakwa Hamzah mencampuri urusan dalaman PDRM.

Pada Jumaat iaitu tiga hari sebelum menamatkan perkhidmatan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam sidang akhbar terakhirnya menyarankan SPP tidak dipengerusikan oleh seorang menteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri tidak sepatutnya jadi Pengerusi SPP - KPN

Menurut Abdul Hamid, lebih baik jawatan Pengerusi SPP itu diserahkan kepada seorang hakim atau bekas hakim bagi mengelak campur tangan politik.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi pula berkata, tiada peruntukan khusus bagi bekas ketua hakim atau hakim untuk mempengerusikan suruhanjaya dalam Perlembagaan Persekutuan kecuali Suruhanjaya Siasatan Diraja.

“Kalau sudah ada dalam Perlembagaan, macam mana kita mahu tukar? Kena buat pindaan di Parlimen (Dewan Rakyat), tak boleh tukar sesuka hati,” kata beliau.

Dalam pada itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sembilan ahli SPP dipengerusikan Menteri Dalam Negeri dengan ahli lain adalah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ketua Polis Negara, bekas hakim, pegawai polis, bekas polis dan pegawai KDN.

“Kena ubah di Parlimen kalau nak ubah (peruntukan jawatan Pengerusi SPP).

“Dalam SPP, bukan Menteri Dalam Negeri seorang yang buat keputusan. Ada ahli lain dan mereka berbincang sebelum sesuatu keputusan dibuat.“Orang politik cenderung menggunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi kepentingan politik dan perkara itu perlu dihentikan,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!