Kenangan ziarah raya di Taman Hijau

No Image Caption
A
A
A

BARU-BARU ini kenalan saya, Rossa mempelawa bersahur. Sekitar jam 4 pagi, kelihatan tempat kami bersahur meriah dengan pelbagai kerenah orangnya. Selepas sekian lama, nostalgia lama kembali. Setiap kali menjelang Ramadan, pengalaman melaluinya barangkali akan sentiasa diingati.

Ramadan di Taman Hijau, Jalan Ketoyong tidak mengira wajah dan hati. Hanya ketulusan naluri ketika itu bagi kami yang membesar dengan keinginan untuk tahu ‘apa itu puasa’, ‘apa itu panjut’ dan ‘apa itu raya’. Tidak lupa kuih di bazar Ramadan yang menjadi tumpuan semua. Kuih pelita dan popia menjadi idaman kerana ‘makan sebulan, rindu setahun’ jadinya.

Dulunya, siapa rajin berpuasa ada ganjaran termasuk bagi yang bukan Islam. Ia bukan sogokan tetapi galakan agar memahami tuntutan Rukun Islam ketiga itu. Puasa menjadi tumpuan.

Sepanjang bulan ada sahaja aktivitinya. Mak Long sambil mengunyah sirih dan kuat berlatah akan ketawa dengan senduk dodolnya, tidak lupa soto rumah arwah Cikgu Mukhlas. Lemang dan rendang sentiasa ada. Ada pun hidangan ini dicari tetapi keseronokan sebenar adalah ‘penyatuan bersama’.

Keikhlasan hadir kerana tidak timbul perasaan syak wasangka atau curiga sesama kita. Pernah suatu ketika, ibu bangun menyiapkan sahur untuk tetamu yang bermalam. Ia bukan janggal tetapi fitrah kemanusiaan, contoh kepada ahli keluarga lain.

Adapun bulan puasa tidak pernah menghentikan apa sahaja yang dilakukan sebelum bermula Ramadan. Ada yang akan bermain badminton seperti biasa di awal pagi sebelum ke sekolah, masih membanjiri padang bola di sebelah surau taman kami. Tidak ada istilah penat kerana niat jelas.

Bertukar juadah satu kebiasaan. Mariam dan Hamidah masih melakukannya. Mendengar Asmaul Husna setiap malam dari ruang tingkap bilik arwah Ustaz Abdul Kudus@Abdul Manaf, Imam Masjid Tanjong Malim ketika itu juga menyejukkan dinihari malam. Hanya jika tidak kedengaran, tandanya ustaz tidak sihat atau ada aktiviti lain.

Masih adakah raya seperti tahun-tahun sebelumnya di Taman Hijau, Jalan Ketoyong? Dalam suasana Covid-19, saya percaya sambutannya akan menjadi sederhana, namun puasa ada maksud dan maknanya. Bulan Ramadan sering menjadi hari-hari meningkatkan amalan, solat tarawih, bertadarus al-Quran, bersahur, menunaikan zakat dan memperbanyakkan amal jariah.

Artikel Berkaitan:

Di surau Taman Hijau juga sering disediakan makanan untuk orang berpuasa dan kesederhanaan menjadi petunjuknya. Ada juga yang ke kubur tidak sampai 100 meter dari rumah kami. Seminggu sebelum sudah dibersihkan dan keluarga sentiasa ada masa untuk diluahkan di sana.

Bukan Islam memahami jika menetap di kawasan perkampungan kerana sosialisasi bersama. Nilai kekitaan datang dengan sendirinya tanpa dibuat-buat mengikut keselesaan masing-masing.

Di malam raya, lazimnya selepas Isyak kedengaran marhaban dan takbir raya, tidak ketinggalan selawatnya. Berpusu-pusu warga Taman Hijau singgah di rumah jiran menandakan malam terakhir sebelum Syawal menjelma. Seminggu sebelum itu, panjut atau pelita minyak tanah menerangi Taman Hijau. Keindahan terserlah. Tradisi lampu pelita satu kemestian. 10 malam terakhir memberikan gambaran raya sudah hampir tiba.

Malam tujuh likur membawa kerahmatan Lailatulqadar, malam ganjil menjadi tum-puan dengan kemeriahan kegemerlapan cahaya yang bagi kanak-kanak, raya sudah hampir tiba petandanya.

Di pagi raya, ketika wanita menyiapkan rumah dengan juadah, yang lelaki akan ke masjid kami untuk solat sunat hari raya. Sebaik pulang, kemeriahannya bersambung dari malam sebelumnya.

Ziarah dan kunjung satu kemestian. Marhaban malam raya akan diteruskan di pagi raya. Begitulah budaya ziarah Taman Hijau, Jalan Ketoyong. Inilah pengertian Islam dan puasa bagi kami di Taman Hijau, Jalan Ketoyong, Tanjong Malim suatu ketika dahulu. Masih adakah raya ini?

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia