X

Kindly register in order to view this article
!

Tak tahan bau babi!

Hamidah (duduk, dua dari kanan) bersama sebahagian penduduk yang mengadu masalah bau busuk daripada ladang ternakan babi berhampiran ketika mengadakan sesi pertemuan di Dewan Orang Ramai Kampung Bunga Tanjung di sini pada Jumaat.
A
A

KAMPAR - Penduduk di Kampung Changkat Belulang, Kampung Changkat Bendera, Kampung Bunga Tanjung dan Taman Sri Malim di sini mendakwa menderita akibat pencemaran bau daripada operasi penternakan babi berhampiran kediaman mereka.

Seorang penduduk, Adnan Nik, 55, berkata, bau busuk terpaksa dihadapi penduduk setiap pagi dan keadaan lebih teruk ketika hujan.

Adnan
Adnan

Menurutnya, kesengsaraan penduduk itu berlarutan lebih lima tahun tanpa sebarang penyelesaian oleh pihak berkaitan.

"Kami memang tidak tahan dengan bau busuk dan kawasan ternakan itu juga tidak sampai satu kilometer dari rumah saya. Tindakan segera perlu diambil oleh pihak berkaitan untuk keselesaan penduduk setempat.

"Kita sudah mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk tindakan sewajarnya.

"Jika operasi ladang babi ini tiada lesen tutup sahaja dan ambil tindakan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Kampung Bunga Tanjung di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) JPKK Kampung Bunga Tanjung/Changkat Belulang, Herry Zakaria berkata, pihaknya sudah mengemukakan aduan pada 21 Januari lalu kepada seorang lagi AJK untuk disampaikan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kampar.

Beliau mengakui penduduk setempat berdepan dengan bau busuk sejak sekian lama dan meminta JPKK bertindak menangani masalah tersebut.

Jelasnya, hampir 700 penduduk di empat kawasan itu terjejas dan berdepan masalah bau yang tidak menyenangkan sehingga kini.

Dalam pada itu, masalah berkenaan mendapat perhatian Pengerusi Penyelaras Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak, Datuk Hamidah Osman yang bertindak menghubungi Pejabat Daerah dan Tanah Kampar bagi mendapatkan penjelasan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, tanah tersebut tidak pernah ditukar status kegunaan untuk tujuan penternakan babi namun operasi ladang itu mendapat lesen daripada Jabatan Veterinar.

Beliau berkata, keadaan itu amat mendukacitakan apabila penternakan haiwan itu diluluskan dan memberi kesan kepada penduduk setempat.

"Semakan kita mendapati pejabat daerah tidak memberi kebenaran untuk menukar status tanah. Persoalannya, bagaimana lesen boleh dikeluarkan untuk menternak babi di sebalik pelanggaran syarat tukar tanah.

"Saya mencadangkan supaya kerajaan negeri mengkaji semula dasar pemberian lesen ternakan babi ini. Sebelum diberikan lesen, penternak perlu mendapat kelulusan daripada pejabat daerah dan tanah untuk penukaran status tanah," katanya.

Hamidah berkata, pihaknya akan mengemukakan memorandum dan surat bantahan mengenai isu tersebut kepada Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad serta Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria dalam masa terdekat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!