Singkatnya hidup untuk berkonflik

A
A
A

PADA Sabtu lalu, sewaktu saya sedang menunaikan solat Subuh berjemaah, secara tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Kami meneruskan solat dalam keadaan bergelap sebelum pulih semula.

Usai solat Subuh dan dalam keheningan pagi yang dingin, saya bertaakul dan merenung diri bahawa hidup ini terlalu singkat seperti bekalan elektrik yang terputus tadi.

Singkatnya hidup kita kerana tiada sedikit pun tanda atau peringatan diberikan sebelum ajal datang menjemput. Singkatnya hidup kita kerana sesaat pun tidak diberikan peluang untuk bersedia menerima kehadiran malaikat maut.

Sungguh malang bagi kita sekiranya hayat terpadam sewaktu dendam masih membara, benci masih tertusuk di hati dan api kemarahan masih belum terpadam.

Sebetulnya, sifat sedih, takut, gembira, marah, terkejut dan meluat adalah anugerah ALLAH bagi setiap manusia. Namun, kesemua sifat itu dikurniakan bukan untuk merosakkan diri sendiri dan orang lain, sebaliknya bagi tujuan menjaga maruah, mengawal kemudaratan dan menzahirkan sifat syukur.

Pun begitu, bukan mudah menguruskan semua emosi secara hikmah. Hakikatnya, sejarah manusia berkonflik bermula sejak peristiwa Qabil membunuh kembarnya Habil akibat marah dan dendam kerana ALLAH hanya menerima persembahan korban daripada Habil bagi tujuan mendampingkan diri kepada ALLAH (Surah al-Maidah, 5:27).

Akhirnya, beliau menyesal dengan perbuatannya menerusi firman ALLAH: “Kemudian ALLAH hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya.

(Qabil) berkata, ‘Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku? Kerana itu, menjadilah ia daripada golongan orang-orang yang menyesal.” (Surah al-Maidah, 5:31).

Artikel Berkaitan:

Ia bermakna, keimanan seseorang itu bukanlah diwarisi walapun anak kepada Nabi Adam AS.

Adalah jelas, sifat yang tercela itu merebak ke dalam hati dan menjatuhkan martabat akal kerana begitu teruja dengan nikmat dunia.

Walhal nikmat dunia amat sedikit sejajar maksud hadis daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH SWT memiliki seratus rahmat. Daripada 100 rahmat tersebut, hanya satu yang diturunkan ALLAH SWT kepada jin, manusia, haiwan jinak dan buas. Dengan rahmat tersebut, mereka saling mengasihi dan menyayangi dan dengan rahmat itu pula, binatang buas dapat menyayangi anaknya. Sungguhpun 99 rahmat ALLAH SWT yang lain, maka hal itu ditangguhkan ALLAH SWT kerana ALLAH SWT hanya akan memberikan kepada hamba-Nya yang soleh pada hari kiamat kelak.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pendek kata, hanya sifat berkasih sayang dapat mengubati kebencian dalam diri dan mengundang rahmat daripada Ilahi.

Menurut Dr Yusof Al-Qaradhawi menerusi bukunya Kemanisan Iman - “Kasih sayang adalah roh kehidupan, sinaran hati dan punca keamanan untuk manusia. Jika kasih sayang berkuasa, manusia tidak memerlukan pengadilan dan undang-undang.”

Memetik di dalam buku yang sama, penyair Sufi Jalaludin al-Rumi telah bermadah: “Sesungguhnya kasih sayang mengubah pahit menjadi manis, tanah menjadi emas, keruh menjadi jernih, sakit menjadi sembuh, penjara menjadi taman, azab menjadi nikmat, paksaan menjadi belas. Kasih sayang akan melembutkan besi, mencairkan batu dan merupakan sayap yang menerbangkan manusia ke atas awan serta dari satu bintang ke satu bintang.”

Oleh itu, sebelum bulan Ramadan berlalu pergi, damaikanlah wahai hati agar tidak lagi membara dengan dendam dan benci. Mekarkan hati dengan kemaafan dan berbaik sangka kerana belum tentu kita akan bertemu lagi dengan bulan yang berkat ini. Cukuplah mendera hati dengan kebencian.

Singkatnya hidup kita kerana tiada sedikit pun tanda atau peringatan diberikan sebelum ajal datang menjemput.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis