Fadzrul Danel digantung empat perlawanan, denda RM10,000

Mohd Fadzrul Danel (kiri) dilayangkan kad merah oleh pengadil Noor Azriel Baharudin ketika menentang TFC.
Mohd Fadzrul Danel (kiri) dilayangkan kad merah oleh pengadil Noor Azriel Baharudin ketika menentang TFC.
A
A
A

PEMAIN Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam digantung empat perlawanan termasuk satu penggantungan secara automatik selain didenda RM10,000 akibat kad merah yang diterimanya pada perlawanan menentang Terengganu FC 1 (TFC 1) 9 April lalu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mokhtar Che Ali berkata, Mohd Fadzrul telah melanggar Artikel 51.1 (a) Kod Tatatertib FAM iaitu salah laku terhadap pegawai pertandingan pada perlawanan KDA FC dan TFC 1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 9 April 2021.

Menurutnya, Mohd Fadzrul juga diberikan amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

"Mohd Fadzrul Danel dikenakan hukuman (penggantungan automatik) bagi perlawanan Liga Super 2021, Perak FC lawan KDA FC pada 17 April 2021 lalu.

"Dia juga digantung bagi tiga aksi Liga Super melibatkan aksi Melaka United FC lawan KDA FC pada 30 April 2021, KDA FC lawan Johor Darul Ta'zim (4 Mei) dan Sabah FC lawan KDA FC (8 Mei).

"Dalam pada itu, seorang lagi pemain Kedah, Rodney Celvin Akwensivie turut dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan termasuk satu penggantungan automatik melibatkan aksi menentang Perak FC, 17 April (penggantungan automatik) serta Melaka United FC," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambah Che Mokhtar, hasil keputusan yang dicapai oleh pihak Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuarat kali ketiga bagi penggal 2021-2025 pada Jumaat, memutuskan bahawa pegawai pasukan Terengganu FC (TFC 1) telah melanggar Artikel 54 (b) Kod Tatatertib FAM iaitu perlakuan pegawai-pegawai pasukan Terengganu FC terhadap kumpulan pengadil pada perlawanan Liga Super 2021, Sabah FC lawan Terengganu FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 21 Mac 2021.

Oleh itu katanya, mereka telah dikenakan hukuman denda RM20,000 atas tindakan tidak wajar kerana mengugut/menganggu pengadil sehingga memerlukan campur tangan pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut Che Mokhtar, Pengurus TFC 1, Zul Fadli Rozi turut didapati telah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan dan cubaan menyerang kumpulan pengadil pada perlawanan Liga Super 2021, Sabah FC lawan Terengganu FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 21 Mac 2021.

"Bagi pertuduhan pertama, pegawai ini dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000 akibat daripada tindakannya yang berkelakuan tidak bersemangat sukan terhadap pengadil perlawanan dan/atau kumpulan pengadil perlawanan apabila setelah tamat perlawanan di atas, beliau telah mengeluarkan kata-kata kesat ke arah pengadil perlawanan dan/atau kumpulan pengadil perlawanan.

"Bagi pertuduhan kedua, pegawai ini dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan akibat daripada tindakannya yang berkelakuan tidak bersemangat sukan terhadap pengadil perlawanan dan/atau kumpulan pengadil perlawanan apabila setelah tamat perlawanan di atas, beliau telah cuba menyerang pengadil perlawanan dan/atau kumpulan pengadil perlawanan yang ingin masuk ke bilik persalinan pengadil.

"Zul Fadli Rozi juga digantung empat perlawanan melibatkan Terengganu FC lawan Penang FC pada 1 Mei 2021, Terengganu FC lawan UiTM FC (4 Mei), Selangor FC lawan Terengganu FC (9 Mei) dan Terengganu FC lawan Perak FC pada 9 Julai 2021," katanya.

Sementara itu, Che Mokthar berkata, seorang lagi pegawai pasukan Terengganu FC - Mohd Shukri Che Zakaria digantung dua perlawanan serta denda sebanyak RM5,000 kerana berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila mengeluarkan kata-kata kesat ke arah Penolong Pengadil 1, Mohd Junaidy Abd Samad pada perlawanan Liga Super 2021, Sabah FC lawan Terengganu FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 21 Mac 2021.

"Penggantungan dua perlawanan yang dikenakan ke atas pegawai ini adalah seperti berikut iaitu melibatkan perlawanan Terengganu FC lawan Penang FC pada 1 Mei 2021 dan Terengganu FC lawan UiTM FC (4 Mei 2021).

"Kesemua mereka ini diberikan amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan denda boleh dirayu," katanya.