Mekanik melecur dibakar dengan minyak petrol

No Image Caption
A
A
A

PASIR SALAK - Berang kereta dibaiki masih rosak, lelaki tergamak membakar seorang mekanik dengan menyimbah minyak petrol dalam kejadian di Kampung Tersusun Balun Bidai, Kampung Gajah di sini pada Rabu.

Kejadian kira-kira jam 8 malam itu menyebabkan mangsa berusia 37 tahun melecur dengan kesan terbakar 46 peratus pada bahagian kepala hingga pinggang dan kaki sebelah kanan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas suspek berusia 50 tahun itu tidak puas hari apabila kereta adiknya yang dibaiki mangsa masih rosak.

Menurutnya, berlaku pertengkaran antara mereka berdua menyebabkan suspek meminta rakannya berusia 39 tahun membeli minyak petrol di kedai berhampiran.

"Suspek kemudiannya menyimbah bahan bakar itu di atas kepala mangsa sebelum menyalakan api menggunakan penyembur aerosol dan pemetik api kira-kira 10 meter dari mangsa.

"Nyalaan api tersebut telah menyambar mangsa yang berada di halaman rumah dan menyebabkan dia terbakar. Dua beradik itu yang panik bertindak memadamkan api dengan menggunakan air paip," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Barudin berkata, setelah api dipadamkan, adik suspek berusia 42 tahun telah menghubungi seorang lagi rakan mereka untuk menghantar mangsa ke Hospital Changkat Melintang, Bota.

"Suspek berusia 30 tahun itu diberi upah RM100. Sebelum dihantar ke hospital, baju dan pakaian mangsa yang terbakar telah ditukar terlebih dahulu oleh seorang lagi suspek.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa dihantar menaiki kereta Proton Satria Neo sebelum ditinggalkan sendirian di tempat letak kereta di hadapan wad kecemasan hospital berkenaan," katanya.

Katanya, bertindak atas maklumat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis berjaya menahan keempat-empat suspek dalam serbuan berasingan di Kampung Gajah pada Khamis.

"Pemeriksaan perubatan mendapati seorang daripada mereka mempunyai kesan terbakar pada tangan kanan dan sampel patologi diambil untuk tindakan lanjut.

"Ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.