Covid-19: Masjid Abidin agih juadah iftar secara bungkus

Pengurusan Masjid Abidin menyediakan pek juadah berbuka puasa untuk diagihkan kepada orang ramai.
Pengurusan Masjid Abidin menyediakan pek juadah berbuka puasa untuk diagihkan kepada orang ramai.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pandemik Covid-19 tidak menghalang Masjid Abidin (Masjid Negeri) meneruskan aktiviti berbuka puasa yang menjadi acara tahunan sepanjang Ramadan, namun uniknya kali ini program itu diadakan dalam normal baharu.

Ketua Eksekutif Masjid Abidin (Masjid Negeri), Wan Mohd Hazim Wan Mohd Hashim berkata, jika sebelum ini orang ramai dibenarkan berbuka puasa di masjid tapi berbeza tahun ini juadah iftar diagihkan secara bungkus untuk dinikmati di rumah.

“Majlis berbuka puasa merupakan program tahunan Masjid Abidin, sebelum Covid-19 aktiviti ini cukup meriah dengan orang ramai berbuka di pekarangan masjid sambil menyaksikan kesibukan bandaraya Kuala Terengganu.

“Tahun ini, kita mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan sebarang majlis berbuka puasa di masjid namun pengurusan masjid memikirkan kaedah lain supaya aktiviti ini dapat diteruskan mengikut SOP ditetapkan.

Juadah berbuka puasa yang dibungkus diagihkan oleh jawatankuasa Masjid Abidin.
Juadah berbuka puasa yang dibungkus diagihkan oleh jawatankuasa Masjid Abidin.

“Justeru kita teruskan program dengan menyediakan iftar dengan memberi makanan yang dibungkus kepada orang ramai sejak awal puasa hingga Ramadan berakhir,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Wan Mohd Hazim, sebanyak 300 bungkus juadah iftar diagihkan kepada orang ramai setiap hari bermula jam 6 petang di pekarangan Masjid Abidin yang juga Masjid Negeri.

Beliau berkata, pihaknya melantik tiga pembekal makanan untuk menyediakan juadah iftar dengan menu berbeza setiap hari antaranya nasi minyak, nasi tomato, nasi Arab dan nasi putih pelbagai lauk dan makanan siap dibungkus dihantar ke masjid sekitar jam 5 petang.

Artikel Berkaitan:

“Agihan juadah berbuka dikendalikan sukarelawan masjid dan diselia oleh pegawai masjid atau imam bertugas mengikut SOP iaitu memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Juadah iftar mula diagihkan kepada orang ramai bermula jam 6 petang.
Juadah iftar mula diagihkan kepada orang ramai bermula jam 6 petang.

“Juadah berbuka puasa ini sedekah dan tajaan orang ramai yang berlumba-lumba membuat kebaikan di bulan mulia ini dan pihak masjid menjadi pemudahcara menyediakan makanan serta diagihkan kepada mereka yang berpuasa,” katanya.

Wan Mohd Hazim juga mengakui kutipan duit tabung masjid merosot sepanjang tempoh pandemik berikutan tidak ramai Jemaah hadir ke masjid namun pihaknya mengambil inisiatif memaparkan lot tajaan iftar pada bunting.

Beliau berkata, nilai lot tajaan serendah RM50 hingga RM500 itu mendapat sambutan baik daripada mereka yang mahu bersedekah dan orang ramai masih boleh menaja juadah berbuka puasa.

“Kaedah ini menjadi satu motivasi kepada orang lain untuk turut bersedekah apabila melihat pelekat penyumbang pada bekas makanan,” katanya.