Koulibaly terharu diberi peluang berbuka puasa

Koulibaly (kiri) dan Fofana menjamah makanan untuk berbuka puasa. - Foto Agensi.
Koulibaly (kiri) dan Fofana menjamah makanan untuk berbuka puasa. - Foto Agensi.
A
A
A

KEPRIHATINAN Liga Perdana Inggeris (EPL) menghentikan perlawanan bagi memberi peluang kepada pemain Islam berbuka puasa mendapat pujian.

Pemain Chelsea beragama Islam, Kalidou Koulibaly mengakui ia sesuatu yang luar biasa yang tidak pernah dilalui sebelum ini.

“Apabila anda hadir ke sini dan melihat mereka menghentikan permainan untuk orang Islam mengisi perut seketika, ia sangat mengagumkan.

“Ia tidak pernah berlaku kepada saya, jadi itulah sebabnya saya dapat rasakan perasaan luar biasa," katanya.

Sejak awal Ramadan, beberapa perlawanan liga dihentikan pada pertengahan separuh masa pertama, sejurus selepas matahari terbenam bagi membolehkan pemain yang berpuasa berbuka dengan menjamah makanan dan minuman.

Beraksi menentang Liverpool minggu lalu, Koulibaly, Wesley Fofana dan N'Golo Kante berpeluang untuk kembali bertenaga pada waktu Maghrib.

“Sebelum ini, saya pernah melihat di televisyen ketika Wesley (Fofana) berada di Leicester City berbuka puasa semasa perlawanan berlangsung,” katanya.

Menurut Koulibaly, selain berpuasa pemain Islam turut menunaikan ibadah lain termasuk solat serta pemahaman terhadap agama.

“Ketika Ramadan, rakan sepasukan melihat kami bersolat dan bertanya apa yang kami lakukan.

“Kebanyakan mereka berfikir Ramadan adalah hanya mengenai tidak makan atau minum, tetapi ia lebih daripada itu.

“Ia mengenai memahami apa yang kita baca dalam al-Quran, mendalami agama, menjaga tingkah laku dan menghayati ajaran Nabi Muhammad.

“Kami perlu menjelaskannya kepada mereka. Jadi apabila seseorang bertanya, kami boleh memberi jawapan,” ujar Koulibaly.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!