Covid-19: Kes kekal rekod angka lebih 3,000

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kes positif baharu Covid-19 terus melepasi angka 3,000 dengan 3,332 kes dilaporkan pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Twitternya berkata daripada jumlah berkenaan dalam tempoh 24 jam lalu, Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 1,083 kes diikuti Sarawak dengan 522 kes dan Kelantan 401 kes.

Ia kemudian diikuti Kuala Lumpur yang merekodkan 359 kes; Johor (207); Pulau Pinang (158); Sabah (131); Negeri Sembilan (111); Kedah (105); Pahang (92); Perak (91); Melaka (43) ; Terengganu (19); Putrajaya (sembilan) dan Perlis (satu). Bagaimanapun Labuan tidak merekodkan sebarang kes positif baharu Covid-19 dalam tempoh berkenaan.

Sementara itu, menerusi kenyataan rasmi mengenai perkembangan Covid-19 pada Khamis, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 kini adalah 404,925.

Katanya dalam tempoh 24 jam lepas juga, 1,943 kes sembuh dicatatkan menjadikan jumlah kumulatifnya 375,340, manakala kes aktif kini 28,093.

Selain itu, beliau berkata sejumlah 309 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 147 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan dan terdapat pertambahan 15 kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat wabak itu kini 1,492.

Dr Noor Hisham berkata, 12 kluster baharu dikenal pasti melibatkan empat kluster komuniti, masing-masing tiga kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan dan kluster tempat kerja serta dua kluster keagamaan.

Kluster komuniti masing-masing satu dilaporkan di Selangor (Kluster Bukit Rotan), Sarawak (Kluster Sileng Dayak), Kelantan (Kluster Kampung Pemanok) dan Pahang (Kluster Raub Jaya).

Artikel Berkaitan:

Sementara tiga kluster institusi pendidikan dilapor masing-masing satu di Sarawak (Kluster Tabuan Jaya), Kelantan (Kluster Batu Lada) dan Johor (Kluster Jalan Abdul Rahman Andak) sementara tiga kluster tempat kerja dilaporkan, dengan dua di Selangor iaitu Kluster Jalan RP Tiga dan Jalan Tigas Belas-Tiga dan satu di Perak (Kluster Jalan Adika Raja).

Kluster keagamaan pula dilapor masing-masing satu di Johor (Kluster Kampung Parit Bunga) dan Perak (Kluster Jalan Pokok Assam).

Tambah beliau selain kluster baharu, sebanyak 83 kluster mencatat peningkatan kes dengan pertambahan kes baharu paling tinggi hari ini adalah Kluster DTI Lenggeng (43), Kluster Raub Jaya (38) dan Kluster Jalan Adika Raja (33).

Dr Noor Hisham berkata, empat kluster tamat hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang ditamatkan ialah 1,260 kluster manakala jumlah kluster aktif ialah 378. - Bernama