Tunggakan RM97,000, penduduk putus bekalan air

Prabakaran (tengah) membantu penduduk menadah air daripada lori tangki DBKL selepas menerima aduan gangguan bekalan air sejak petang Selasa.
Prabakaran (tengah) membantu penduduk menadah air daripada lori tangki DBKL selepas menerima aduan gangguan bekalan air sejak petang Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk di tiga blok Perumahan Awam (PA) Sri Kelantan, Sentul di sini berdepan gangguan bekalan air dipercayai dipotong oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akibat tunggakan mencecah RM97,000.

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata, meter air dikunci sejak pagi Selasa dan penduduk menyedari perkara itu selepas mengalami gangguan bekalan pada waktu petang hari yang sama dan berlanjutan sehingga hari ini.

Katanya, beliau kesal dengan situasi itu kerana penduduk tidak dimaklumkan selain umat Islam kini sedang berpuasa.

"Air Selangor ketika dihubungi memaklumkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) belum menjelaskan tunggakan di Blok C yang diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan itu manakala Blok A dan B diuruskan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB).

"Tanpa sebarang notis dan pemakluman kepada JMB atau persatuan penduduk, Air Selangor telah mengunci air tanpa disedari penduduk dan perkara ini tidak boleh diterima," katanya pada sidang akhbar di lokasi berkenaan pada Rabu.

Antara warga emas yang sama-sama turun ke bawah untuk mengangkut air.
Antara warga emas yang sama-sama turun ke bawah untuk mengangkut air.

Bagaimanapun katanya, Datuk Bandar, Datuk Seri Mahadi Che Ngah ada menghubungi beliau dan berjanji isu air itu akan diselesaikan segera.

"Saya yakin Air Selangor tidak akan potong serta-merta dan pasti ada notis. Notis itu diserahkan kepada DBKL, kenapa tiada tindakan sehingga berlaku pemotongan?

Artikel Berkaitan:

"Penduduk marah dengan masalah gangguan air ini. Sebelum ini tidak ada air disebabkan masalah pam dan kemudian isu pemotongan air pula. Ini tidak adil kepada penduduk yang membayar bil setiap bulan," katanya.

Penduduk sibuk menadah air dari lori tangki DBKL.
Penduduk sibuk menadah air dari lori tangki DBKL.

Katanya lagi, kunci air tersebut telah dibuka pada Rabu namun penduduk masih belum menerima bekalan air disebabkan mengambil masa untuk memenuhkan tangki utama sebelum disalurkan ke rumah penduduk.

Sementara itu seorang warga emas, Aminah Abd Hamid, 73, kecewa dengan pemotongan bekalan air ketika Ramadan kerana menyukarkannya untuk memasak dan membersihkan diri.

"Ini kali ketiga gangguan air dalam bulan Ramadan. Sebelum ini masalah pam dan kali ini bekalan air dipotong pula. Sedangkan kami bayar bil air setiap bulan.

"Saya minta DBKL siasat dan semak siapa yang bayar dan tidak bayar, tidak adil buat kami yang membayar tapi terkena tempiasnya," katanya.

Seorang lagi penduduk, Norashikin Nganero, 33, yang baru lima bulan tinggal di perumahan bertingkat itu terkejut dengan situasi dihadapi.

"Selepas berkahwin saya pindah di sini. Sebelum ini tinggal di kampung dan tidak pernah menghadapi kekerapan gangguan bekalan air.

"Saya menyedari tiada bekalan air ketika mahu memasak untuk sahur. Mujur ada air yang disimpan. Tidak sepatutnya gangguan air berlaku secara tiba-tiba seperti ini kerana menyusahkan kami. Sepatutnya penduduk dimaklumkan dahulu untuk kami buat persediaan," katanya.

Norashikin mengangkut air untuk kegunaan harian sementara bekalan air disambung semula.
Norashikin mengangkut air untuk kegunaan harian sementara bekalan air disambung semula.

Seorang lagi penduduk, Lee Soo Hwa, 65, berkata, isu air mula menghimpit penduduk kebelakangan ini disebabkan masalah pengurusan.

"Saya tinggal di sini sudah 40 tahun, sebelum ini tiada masalah gangguan air, cuma kebelakangan ini terlalu kerap berlaku masalah air termasuk ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

"Ketiadaan bekalan air menyusahkan penduduk. Ada yang terpaksa mandi di tempat lain dan menyewa hotel. Saya harap DBKL boleh membantu menyelesaikan masalah ini. Kami membayar bil tiap-tiap bulan, tidak adil air di rumah kami turut dipotong," katanya.