Jutawan hartanah ambil tindakan terhadap 10 pemilik akaun FB

Mohammad Azlan (dua dari kiri) berbincang sesuatu dengan Penasihat Undang-undangnya, Mohd Ali Akbar Yusoff (baju merah) dan salah seorang kakitangannya, Mohd Mustakim Abdullah@Ali (baju hitam) di hadapan Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu, pada Rabu.
Mohammad Azlan (dua dari kiri) berbincang sesuatu dengan Penasihat Undang-undangnya, Mohd Ali Akbar Yusoff (baju merah) dan salah seorang kakitangannya, Mohd Mustakim Abdullah@Ali (baju hitam) di hadapan Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu, pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengarah urusan sebuah syarikat pemaju hartanah, Azlan AL Amin Group Holdings Sdn Bhd, Muhammad Azlan AL Amin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap 10 pemilik akaun Facebook yang didakwa memfitnah beliau.

Azlan atau nama sebenarnya Mohammad Azlan Abdullah@Ali, 34, berkata, isu itu timbul akibat individu tertentu yang memfitnah beliau mencagar geran tanah sehingga dilelong dan perkara itu tular di Facebook.

Beliau mendakwa menyedari status tersebut pada 23 April kira-kira jam 12.20 tengah hari yang pada awalnya dimuat naik di akaun Facebook milik individu terbabit yang meminta beliau datang berjumpa dengan keluarga mereka dan menyatakan beliau mencagar geran tanah milik ayah mereka sehingga dilelong pihak bank.

"Saya menerima kecaman daripada netizen sekali gus menyebabkan imej dan reputasi serta keluarga tercemar dengan komen jelek termasuk menyamakan saya seperti 'manusia khinzir' dan 'orang gila'.

"Walaupun saya hanya mengenali tiga daripada 10 pemilik akaun Facebook yang dikesan tetapi saya tetap akan mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang tidak dikenali sebagai satu pengajaran.

"Mereka perlu lebih berhati-hati untuk berkongsi maklumat tidak sahih," katanya kepada pemberita semasa ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret di sini Rabu.

Jelas Mohammad Azlan lagi, tindakan undang-undang akan diambil dalam tempoh terdekat dan kini beliau bersama peguam sedang mengumpul bukti untuk tujuan itu.

"Sekiranya dalam tempoh ini, ada dalam kalangan mereka terlibat datang memohon maaf, saya terima permohonan maaf tetapi tindakan undang-undang tetap diteruskan.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan bermaksud saya mahukan wang semata-mata tetapi mahu memberi pengajaran kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati," katanya.

Pengalaman hidup ikon usahawan muda ini yang lahir daripada keluarga miskin tegar sebelum ini dan bekerja sebagai pengutip sampah mendapat perhatian masyarakat sehingga kisah hidupnya dibukukan dengan tajuk 'Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan'.

Jutawan hartanah itu mendapat perhatian masyarakat selepas membawa kegembiraan kepada kira-kira 400 penduduk di Kampung Tok Raja, Besut apabila mempelawa mereka menaiki helikopter secara percuma ketika pulang bercuti selama seminggu sekitar awal Mac lalu.

Selain itu, tindakannya yang melakukan kejutan kepada seorang penjual lokan di Kampung Baru Nelayan, Tumpat, Kelantan dengan datang menaiki helikopter untuk melakukan urusan jual beli lokan lebih kerap menjadi buah mulut warganet di media sosial dan susulan itu juga namanya meningkat naik.