GRS tubuh jawatankuasa teknikal tangani isu PATI

Bung Moktar Radin
Bung Moktar Radin
A
A
A

KOTA KINABALU - Satu jawatankuasa teknikal ditubuhkan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing itu dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bagi menyelaras semua keperluan untuk menangani isu ini.

Beliau berkata, melalui jawatankuasa itu diharap satu keputusan dapat dicapai untuk memastikan isu keselamatan, PATI dan pekerja asing dapat diselesaikan secara total.

"Jawatankuasa teknikal di peringkat negeri telah pun dibentuk di mana bagi jawatankuasa keselamatan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, jawatankuasa PATI dan pekerja asing dipengerusikan oleh Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan dianggotai oleh jabatan serta agensi kerajaan yang berkaitan.

"Kita menaruh harapan dengan adanya jawatankuasa teknikal di peringkat negeri dan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah di peringkat kerajaan Pusat, kolaboratif bersama dapat dicapai untuk mempercepatkan tindakan agar isu ini dapat ditangani segera," katanya selepas menyertai mesyuarat secara maya Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Di Sabah di pejabatnya pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau turut mengajak semua pihak supaya bersatu untuk memastikan negeri ini bebas daripada pekerja asing dan pelawat tanpa dokumen.

Tambah Bung Moktar lagi, ini adalah masa paling sesuai untuk menangani masalah PATI dalam negara kerana pemimpin-pemimpin daripada kerajaan Persekutuan dan negeri sama-sama mengakui keseriusan dan kepentingan menghantar pulang orang-orang tidak dikehendaki ini ke negara asal masing-masing.

Artikel Berkaitan: