Isu tiket penerbangan: 300,000 rakyat Sabah berada di Semenanjung

Aliakbar ketika ditemui pada pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Sabah di Putatan.
Aliakbar ketika ditemui pada pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Sabah di Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Terdapat kira-kira 300,000 rakyat Sabah yang berada di Semenanjung dan isu tiket penerbangan yang mahal mesti diselesaikan secara bersama oleh semua pihak.

Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, walaupun perkara itu tidak disuarakannya secara khusus namun Pas Sabah telahpun menyuarakan kepada media.

"Kami juga sudah berjumpa dengan Presiden Persatuan Penduduk Sabah di Semenanjung Datuk Azmi Juatan dan difahamkan ada 300,000 penduduk Sabah di Semenanjung.

"Jadi sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri kita akan terus menerus memastikan perkara ini diselesaikan kerana ini juga sebahagian daripada hak Sabah yang perlu kita mobilkan di dua wilayah ini," katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Sabah di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika ada usul berkaitan isu tiket penerbangan yang akan dikemukakan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang akan berlangsung bermula 22 Mei depan.

Sebelum ini, isu harga tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sabah serta penerbangan domestik sekali lagi mendapat perhatian apabila harga tiket melambung naik sehingga mencapai ribuan ringgit terutama pada musim perayaan baru-baru ini.

Katanya lagi, sebagai salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, beliau secara asasnya turut mengemukakan beberapa soalan sepanjang sidang DUN itu berlangsung nanti.

"Saya telahpun menghantar soalan bertulis dan masih juga berkaitan dengan kemudahan asas kerana saya nampak kita di Sabah ini belum keluar dari kepompong masalah air, soal jalan raya, setinggan dan lain-lain termasuk isu jalan raya masuk ke kawasan kampung-kampung.

"Ada juga berkaitan dengan pentadbiran pengurusan negeri terutama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kuota 40 peratus dan juga royalti 20 peratus.

"Itu sebahagian dari perkara daripada pihak Pas Sabah yang terus menerus diperjuangkan sebagai tanda kita juga tahu hak rakyat Sabah supaya ia diraikan melalui perjanjian yang dimeterai," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!