Penguatkuasaan tidak adil tambah sengsara rakyat: AMK

Akmal Nasrullah
Akmal Nasrullah
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menganggap penguatkuasaan yang tidak adil hanya menambahkan sengsara rakyat ketika berhadapan dengan keadaan ekonomi tidak menentu kebelakangan ini.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, amalan dua darjat kerajaan Perikatan Nasional sudah terlalu ketara dan semakin tidak masuk akal susulan tular berita seorang peniaga burger di Kelantan dikompaun sehingga RM50,000.

Menurutnya, sekiranya berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sekalipun, kompaun sehingga RM50,000 amat tidak masuk akal kepada rakyat marhaen yang hanya berniaga burger di hadapan rumah.

"Kerajaan hari ini seperti sudah berkurang sifat nurani dalam melihat keterdesakan ekonomi rakyat dan amalan dua darjat pastinya menjadi isyarat tekanan dan penindasan berterusan kepada rakyat akan berlaku.

"Ini agak berbeza bagi kes-kes melibatkan golongan kenamaan (VVIP), sering kedengaran kertas siasatan dibuka terlebih dahulu walaupun bukti bergambar dan video sudah terpampang jelas manakala kes melibatkan rakyat marhaen pula terus dikompaun.

"Ini jelas merupakan suatu penganiayaan dan penindasan yang tidak sepatutnya mendapat tempat di Malaysia," kata Akmal yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang dalam satu kenyataan pada Selasa.

Akmal berkata, menteri atau exco kerajaan negeri yang mempunyai kuasa dan terlibat secara langsung

dalam penyediaan SOP harus lebih bertanggungjawab dan perlu menyemak kembali segala SOP ditetapkan supaya penganiayaan sebegini tidak terus berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Penguat kuasa turut dinasihatkan agar memberi pertimbangan sebaiknya sebelum mengenakan sebarang kompaun kerana sekiranya kes begini berlaku, anda akan dipersalahkan sedangkan anda hanya penjawat awam yang menjalankan tugas," katanya.

Dalam pada itu, AMK menggesa rakyat yang berhadapan dengan kes sedemikian untuk tampil ke hadapan dan Biro Profesional Muda AMK bersedia menawarkan khidmat guaman bagi memberikan pembelaan kepada mereka.

ARTIKEL BERKAITAN Peniaga burger terkilan dikompaun RM50,000