Jualan kereta naik mendadak

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Prestasi jualan kenderaan dalam negara merekodkan peningkatan memberangsangkan pada suku pertama tahun ini selepas kerajaan melanjutkan insentif pengecualian cukai jualan kenderaan sehingga Jun.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, jumlah keseluruhan industri (TIV) sehingga Mac 2021 mencatatkan peningkatan sebanyak 31 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Jualan kenderaan pada tahun ini sehingga Mac adalah sebanyak 139,499 unit berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas iaitu 106,596 unit.

“Sementara itu, jumlah jualan kenderaan bagi Februari adalah 30 peratus lebih tinggi berbanding Januari, manakala jualan pada Mac 2021 pula menunjukkan peningkatan sebanyak 49 peratus berbanding Februari,” katanya kepada Sinar Harian.Aishah menjelaskan, prestasi memberangsangkan tersebut didorong oleh langkah pengeluar kenderaan yang meningkatkan usaha penghantaran masing-masing bagi membolehkan syarikat mendapat data jualan yang positif membabitkan keputusan kewangan tahunan pada akhir Mac.

Bagaimanapun, beliau berkata, MAA menjangkakan jualan kenderaan dalam negara bagi April mencatatkan penurunan berbanding Mac tahun yang sama.

Aishah Ahmad
Aishah Ahmad

Terdahulu, kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan insentif pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kenderaan yang sebelum ini dilaksanakan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sehingga 30 Jun depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kuasa membeli guna i-Sinar

Artikel Berkaitan:

Insentif, model baharu dorong belian kereta

Mengulas mengenai penerusan insentif berkenaan selepas tarikh tersebut, Aishah berkata, meskipun pihaknya mengharapkan supaya ia dilanjutkan, namun beliau menyatakan keputusan untuk menentukan perkara itu terletak di tangan pihak kerajaan.

Beliau berkata lagi, unjuran jualan keseluruhan kenderaan yang disasarkan oleh MAA pada tahun ini ialah sebanyak 570,000 unit iaitu peningkatan lapan peratus berbanding jualan tahun lepas yang mencapai sebanyak 529,234 unit.

Selepas pelaksanaan insentif pengecualian SST kenderaan yang bermula Jun tahun lalu, media melaporkan bahawa harga kenderaan di Malaysia merekodkan penurunan antara dua ke tujuh peratus.