Insentif, model baharu dorong belian kereta

Gambar kecil dari kiri: Mohd Afzanizam, Dr Barjoyai
Gambar kecil dari kiri: Mohd Afzanizam, Dr Barjoyai
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa pakar ekonomi berpendapat insentif oleh kerajaan seperti pengecualian cukai jualan kenderaan mendorong prestasi jualan kenderaan dalam negara merekodkan peningkatan memberangsangkan.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, antara faktor lain adalah kadar keuntungan perbankan yang rendah juga banyak menyumbang kepada peningkatan jualan kenderaan.

“Di samping itu, pengenalan model-model baharu kenderaan memberi kesan kepada minat belian di kalangan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad bahawa prestasi jualan kenderaan di negara merekodkan peningkatan memberangsangkan pada suku pertama tahun ini selepas kerajaan melanjutkan insentif pengecualian cukai jualan kenderaan.

Mohd Afzanizam turut melihat bahawa kuasa beli pengguna masih lagi baik walaupun ekonomi negara belum pulih sepenuhnya.

“Perkara itu menunjukkan bahawa terdapatnya perbezaan dari segi impak Covid-19 kepada setiap individu.

“Ia juga menandakan terdapatnya darjah kepayahan berlainan bagi setiap individu atau isu rumah yang mana kita tidak boleh pukul rata apabila membicarakan soal impak kepada rakyat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kuasa membeli guna i-Sinar

Artikel Berkaitan:

Jualan kereta naik mendadak

Dari sudut itu juga, katanya, pentingnya setiap bantuan kerajaan perlu bersasar dan tidak boleh secara pukal.

Mengulas isu sama, seorang lagi pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai turut sependapat dengan Mohd Afzanizam bahawa pengecualian cukai dan pengenalan model baharu kenderaan seperti Proton X50 merupakan faktor peningkatan jualan kenderaan.

Jelas Barjoyai, faktor lain ialah kerana pendapatan kumpulan menengah atas tidak terjejas dengan kegawatan ekonomi yang melanda negara.

“Mereka merasa bosan dengan kehidupan terkurung. Jadi itu sebagai cara melepaskan geram dengan menukar kereta baharu,” katanya.

Barjoyai turut berpendapat bahawa pada kebiasaannya penjualan kenderaan dilihat sebagai penanda aras bahawa ekonomi negara kini sedang pulih apabila penjualannya meningkat.

“Dilihat bahawa ekonomi akan pulih kerana penggunaan persendirian ataupun penggunaan di rumah meningkat. Maknanya, kereta ini digunakan sebagai lambang untuk mewakili penggunaan (golongan) menengah atas,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, peningkatan penjualan kenderaan bukan berlaku baru-baru ini sahaja tetapi telah berlaku sejak beberapa bulan yang lalu.