Sarawak sekat kemasukan pengembara India untuk bendung VOC

Kerajaan Sarawak sekat kemasukan pengembara dari India bagi mencegah penularan virus Covid-19 Varian Yang Membimbangkan (variant of concern atau VOC) jenis baharu.
Kerajaan Sarawak sekat kemasukan pengembara dari India bagi mencegah penularan virus Covid-19 Varian Yang Membimbangkan (variant of concern atau VOC) jenis baharu.
A
A
A

KUCHING - Kerajaan Sarawak menyekat kemasukan pengembara dari India bagi mencegah penularan virus Covid-19 Varian Yang Membimbangkan (variant of concern atau VOC) jenis baharu, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

JPBN dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, keputusan yang berkuat kuasa serta-merta itu juga melibatkan mereka yang pernah berada di India dalam tempoh 30 hari.

Baru-baru ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pengembara dari India yang baru tiba di Malaysia perlu dikuarantin wajib selama 14 hari berbanding 10 hari sebelum ini.

Arahan itu, katanya, adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan VOC jenis baharu di negara ini memandangkan ada dalam kalangan varian itu dikesan di Malaysia, misalnya varian B.1.351 atau South African variant.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat tiga jenis varian yang membimbangkan iaitu B.1.351 yang mula dilaporkan di Afrika Selatan, B.1.1.7 dari United Kingdom dan B.1.1.28 atau P1 dari Brazil dan Jepun.

Menurut JPBN, Sarawak pada Isnin merekodkan 615 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 28,529 kes.

Enam kes kematian baharu akibat jangkitan itu dilaporkan, sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 162 orang.

Dalam kenyataan yang sama, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak turut mengisytiharkan tiga lagi kluster baharu iaitu Kluster Sungai Senibung di Julau, Kluster Pondok di Belaga dan Kluster Jalan Sebauh-Bintulu di Sebauh. - Bernama

Artikel Berkaitan: