Dana tambahan RM2 bilion tampung kos pelaksanaan PICK

Khairy (kanan) ketika sidang media selepas Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin.
Khairy (kanan) ketika sidang media selepas Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Dana tambahan RM2 bilion daripada jumlah keseluruhan RM5 bilion Kumpulan Wang Amanah Kebangsaan (KWAN) untuk kegunaan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, peruntukan itu untuk pelaksanaan proses suntikan vaksin Covid-19 termasuk membuka dewan di setiap negeri serta menyelesaikan bil utiliti.

Katanya, bayaran elaun serta makanan kepada petugas yang terbabit dalam pemberian suntikan vaksin juga dibiayai melalui wang itu.

"RM3 bilion itu untuk pembelian vaksin dan perolehan vaksin, RM2 bilion tambahan itu bagi pelaksanaan program imunisasi.

"Contohnya hari ini saya datang Kedah, menteri besar minta peruntukan dari saya, nak ambil duit dari mana? RM3 bilion sudah kita guna untuk beli vaksin, takkan kos pelaksanaan percuma," katanya ketika menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, dari segi kelulusan penggunaan duit KWAN itu, isu tersebut akan dijawab oleh Kementerian Kewangan.

"Saya pengguna duit, bukan pemberi duit, pemberi duit kena jawab dia ambil duit daripada mana.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun saya akan jawab secara teliti mengenai isu ini dalam kenyataan media nanti. Jumlah yang kita terima setakat ini daripada MOF adalah peruntukkan siling, selepas kita turun ke negeri-negeri jumlah siling ini akan naik lagi," katanya.

Pada Ahad, Datuk Seri Najib Razak melalui akaun Facebooknya mempersoalkan ke mana perginya peruntukkan asal berjumlah RM3 bilion seperti diluluskan dalam Belanjawan 2021 bagi membeli vaksin Covid-19 bagi kegunaan 85 peratus rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Pekan itu juga membangkitkan terhadap peruntukan tambahan RM2 bilion yang menjadikan jumlah belanjawan pembelian vaksin sebanyak RM5 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lalu.

Sebelum ini, kerajaan meluluskan undang-undang untuk menggunakan dana KWAN untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ia dilakukan melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Menurut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.