Polis tumpas dua sindiket seludup, proses dadah

Acryl Sani menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Rawang, Selangor pada 20 April lalu.
Acryl Sani menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Rawang, Selangor pada 20 April lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis berjaya menumpaskan dua sindiket penyeludupan dan pemprosesan dadah apabila merampas pelbagai jenis bahan terlarang berkenaan bernilai kira-kira RM17.75 juta dalam 10 serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, minggu lalu.

Dalam serbuan pada Selasa dan Rabu lalu di sekitar Kajang, Pandamaran dan Rawang, Selangor itu, polis turut menahan 17 ahli sindiket termasuk empat warga Bangladesh berusia 24 hingga 47 tahun.

Turut dirampas ialah dua alat pengewapan pemprosesan dadah dan sebuah ketuhar besar untuk tujuan pengeringan dadah.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, menerusi operasi pertama di Kajang dan Pandamaran itu, pihaknya berjaya membongkar modus operandi sindiket itu yang menyeludup masuk bekalan dadah ke negara ini dari selatan Thailand melalui jeti haram di Kelantan.

Menurutnya, sindiket itu juga dikesan menggunakan perkhidmatan kontena dan penghantaran bungkusan melalui jalan laut serta udara bagi menyeludup dadah ke luar negara.

"Berdasarkan tujuh serbuan dalam operasi pertama, kita telah merampas 354 slab heroin base seberat 134 kilogram (kg) dan 101 bungkusan plastik berisi syabu seberat 104kg yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM15.2 juta," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Isnin.

Mengulas berkenaan operasi kedua, Acryl Sani berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah di Rawang apabila merampas 22kg dan 37.15kg cecair masing-masing ketamin dianggarkan berjumlah RM2.35 juta.

Jelas Acryl, siasatan mendapati kedua-dua sindiket beroperasi sejak Februari lalu dengan keseluruhan dadah dirampas boleh digunakan kira-kira 9.7 juta penagih dadah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dengan tumpasnya dua sindiket itu, pihaknya turut menyita pelbagai aset sindiket bernilai RM1.07 juta membabitkan kenderaan, wang tunai, barangan kemas dan akaun bank.

Tegasnya, polis khususnya JSJN akan terus berusaha mengesan saki-baki ahli sindiket yang terlibat untuk diheret ke muka pengadilan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.