Tempat kerja, institusi pendidikan sumbang kluster baharu tertinggi

Infografik laporan mingguan kluster Covid-19 oleh KKM pada Isnin.
Infografik laporan mingguan kluster Covid-19 oleh KKM pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Sektor tempat kerja dan institusi pendidikan merekodkan jumlah kluster baharu paling tinggi pada minggu ke-16 pada tahun ini dengan masing-masing mencatatkan sebanyak 22 kluster baharu dalam tempoh tersebut.

Menurut laporan mingguan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kategori komuniti menjadi menjadi penyumbang ketiga terbanyak bagi pertambahan kluster pada minggu tersebut dengan 20 kluster baharu, diikuti aktiviti keagamaan (tiga) dan pusat tahanan (satu).

“Jumlah keseluruhan kluster sehingga 24 April 2021 (minggu 16) adalah sebanyak 1,583 kluster iaitu peningkatan sebanyak 4.5 peratus berbanding minggu 15 iaitu 1,515 kluster,” menurut KKM menerusi ciapan di Twitter pada Isnin.

Mengulas mengenai perbandingan pertambahan kluster untuk minggu ke-16 dan 15, KKM menyatakan dua kategori kluster yang mencatatkan penurunan ialah kluster tempat kerja sebanyak 26 peratus dan pusat tahanan iaitu 66.7 peratus.

Sementara itu, tiga kategori kluster yang mencatatkan peningkatan pada minggu ke-16 berbanding minggu ke-15 ialah kluster aktiviti keagamaan dengan kenaikan sebanyak 200 peratus iaitu daripada satu kes kepada tiga kes.

Ia diikuti institusi pendidikan sebanyak 83 peratus iaitu daripada 12 ke 22 kes, serta kluster komuniti sebanyak 11 peratus iaitu daripada 18 ke 20 kes.

Artikel Berkaitan: