Pengarah syarikat bebas dengan jaminan SPRM
IPOH - Seorang pengarah sebuah syarikat berkaitan kerajaan dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin selepas ditahan pada 20 April lalu.
Perintah tersebut dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Noor Azna Tajul Anuar ke atas suspek yang berusia 50 tahun itu.
Jaminan berjumlah RM20,000 ditetapkan kepada lelaki tersebut dengan seorang penjamin.
Menurut sumber, lelaki tersebut direman selama enam hari sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa membabitkan pelantikan sebuah syarikat untuk menjalankan kerja-kerja di SPNB Perak berjumlah lebih kurang RM95,000.
Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad yang dihubungi mengesahkan berhubung penahanan tersebut.
Difahamkan, pembebasan suspek dibuat selepas siasatan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Pada 20 April, suspek ditahan pada jam 1.25 selepas diminta hadir memberi keterangan kepada suruhanjaya itu di Pejabat SPRM Perak, Meru Raya di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!