Mesyuarat MKT UMNO desak Parlimen kembali bersidang

Ahmad Maslan ditemui pemberita selepas selesai Mesyuarat MKT UMNO itu yang diadakan di Menara Dato Onn pada Ahad.
Ahmad Maslan ditemui pemberita selepas selesai Mesyuarat MKT UMNO itu yang diadakan di Menara Dato Onn pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk mendesak dan mengesyorkan kepada kerajaan supaya Parlimen kembali bersidang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat.

"Antara rasional utama yang dipertimbangkan (terhadap gesaan itu) termasuklah kerajaan tidak boleh dilihat cuba 'memandulkan' amalan demokrasi berparlimen.

"Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah medan semak dan imbang dalam kalangan wakil rakyat supaya kerajaan tidak melakukan sebarang tindakan sesuka hati sehingga membelakangkan kepentingan dan kebajikan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Mesyuarat MKT UMNO itu yang diadakan di Menara Dato Onn pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ahmad Maslan menegaskan, rakyat ketika ini berdepan dengan pelbagai kesukaran dan kesempitan melibatkan ekonomi, pengangguran, kos sara hidup dan harga barang yang meningkat.

Menurutnya, desakan supaya Parlimen bersidang itu juga disuarakan kerana kerajaan mesti ada akauntabiliti terhadap aspek kewangan negara.

Jelasnya, ia termasuk dalam segi perbelanjaan wang rakyat dan peningkatan jumlah hutang negara yang melangkaui 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang bertentangan dengan Akta Hutang Negara yang diluluskan di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, ia turut berkait dengan penggunaan buat pertama kali dalam sejarah Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang merupakan benteng terakhir negara untuk menghadapi keadaan sekiranya sumber asli negara kehabisan.

"Keyakinan dan kepercayaan pelabur terutama dari luar akan terus terhakis sekiranya amalan demokrasi berparlimen ini digantung sehingga tiada lagi aspek 'good governance' dari segi semak dan imbang dalam kerajaan.

"Prosedur operasi standard (SOP) harus dibangunkan bagi membolehkan persidangan Parlimen dan DUN dilakukan sebagaimana yang diamalkan di negara-negara seluruh dunia," katanya.

Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin kenyataan Istana Negara menyebut bahawa perkara berkenaan termaktub dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Ia menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.