Covid-19: Tiga buah sekolah di Kedah masih ditutup

Gambar kecil: Dr Mohd Fikri Ujang
Gambar kecil: Dr Mohd Fikri Ujang
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga buah sekolah membabitkan dua daerah di Kedah masih ditutup susulan penularan kes Covid-19.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah Mergong di daerah Kota Setar membabitkan Kluster Dinamik, Maktab Mahmud Baling membabitkan Kluster Jalan Weng serta SMK Baling yang dipercayai membabitkan Kluster Anggerik Cempaka.

Beliau berkata, kesemua sekolah terbabit akan ditutup selama tujuh hari lagi selepas beberapa hari ditutup sebelum ini.

"Pelajar-pelajar ini dirawat di dua tempat. Pelajar positif yang berada pada kategori dua dan tiga, mereka dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di hospital, sementara yang lain akan dirawat di asrama.

"Kita tengok kepada situasi kerana terdapat juga pelajar yang tidak tinggal di asrama. Kita akan pantau mereka," katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Hari Malaria Sedunia peringkat negeri Kedah di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah di sini pada Ahad.

Majlis berkenaan dirasmikan Exco Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman.

Dr Mohd Fikri berkata, pihaknya kini giat mengesan kontak rapat dalam kalangan pelajar dan guru sekolah untuk mengekang penularan Covid-19.

"Ketika ini, Jabatan Kesihatan negeri turut memasang kain rentang peringatan di kawasan zon merah serta meningkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menerusi laporan harian JKN Kedah pada Ahad, sebanyak 16 individu lagi dikesan positif Covid-19 membabitkan Kluster Dinamik dan satu kes membabitkan Kluster Anggerik Cempaka.

Sebelum ini, Maktab Mahmud Baling ditutup sejak Ahad minggu lalu berikutan 35 pelajarnya didapati positif Covid-19.

Pada Rabu lalu, seramai 15 pelajar SMK Agama Kedah dikesan positif, disusuli lima pelajar SMK Baling turut disahkan positif Covid-19 pada Khamis lepas.

Kedua-dua sekolah tersebut ditutup pada hari sama sehingga 28 April ini bagi tujuan pembersihan.