PKPD di Kampung Dambai Inanam, Kota Kinabalu mulai esok

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Dambai Inanam, Kota Kinabalu, Sabah bermula Isnin hingga 9 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini susulan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di kawasan itu.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 74 ujian saringan dan daripada jumlah itu, enam kes positif direkodkan dalam tempoh seminggu.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di lima lokaliti di mukim Hulu Besut, Besut, Terengganu iaitu Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan Felcra Keruak dilanjutkan sehingga 4 Mei.

Beliau berkata, KKM melaporkan penularan kes secara berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan itu dengan 22 kes positif Covid-19 sedang dirawat.

“Setakat ini, 107 kes positif Covid-19 direkodkan melibatkan kesemua lokaliti itu hasil 2,077 ujian saringan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan penamatan PKPD susulan penurunan kes baharu di Penjara Tapah, Perak dan Kampung Meruntum, Putatan, Sabah pada 26 April seperti dijadualkan.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, sejumlah 243 individu ditahan pada Sabtu kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan 219 daripada mereka dikenakan kompaun, manakala 24 lagi direman.

Merujuk Operasi Benteng pula, beliau berkata, 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan pada Sabtu dan tiga kenderaan darat dirampas. - Bernama