Aktifkan semula MKMF bantu ekonomi luar bandar

Nordin (dua dari kiri) menyempurnakan pelancaran ringkas Sambutan Ulang Tahun ke-8 Program My Kampung My Future di Premis Dodol Opah Yang, Kampung Empai, Kampung Gajah di Pasir Salak pada Ahad.
Nordin (dua dari kiri) menyempurnakan pelancaran ringkas Sambutan Ulang Tahun ke-8 Program My Kampung My Future di Premis Dodol Opah Yang, Kampung Empai, Kampung Gajah di Pasir Salak pada Ahad.
A
A
A

PASIR SALAK - Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) digesa mengaktifkan semula program My Kampung My Future (MKMF) yang diperkenalkan pada tahun 2013 untuk meningkat ekonomi luar bandar.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, program tersebut telah membuktikan keupayaan menggerakkan ekonomi komuniti khususnya di luar bandar seperti di Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah di sini sehingga kini.

Sejak dilaksanakan, katanya, pelbagai aktiviti pembangunan sosioekonomi diwujudkan seperti penternakan lembu, ternakan ikan sangkar, tanaman makanan, agropelancongan dan industri kraftangan serta merancakkan industri pelancongan.

"Ini semua membantu membangunkan Mukim Pulau Tiga ini dan memberi peluang terutama kepada generasi muda untuk mengikuti aktiviti ekonomi sejak tahun 2013. Namun sejak tahun 2016, program ini semakin perlahan dan terus senyap selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran pada tahun 2018.

"Kita sangat berharap kerajaan meneruskan aktiviti ini kerana telah terbukti mencapai kejayaan. Malah kita turut menerima kunjungan dari negeri lain termasuk kunjungan negara luar seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam untuk mereka belajar serta menggunakan pakai model MKMF ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ringkas Sambutan Ulang Tahun ke-8 Program My Kampung My Future di Premis Dodol Opah Yang, Kampung Empai, Kampung Gajah di sini pada Ahad.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak enam persatuan belia, koperasi dan komuniti di daerah Bagan Serai, Bagan Datuk, Muallim, Batang Padang, Kuala Kangsar dan Kinta yang meminta program seumpama itu dilaksanakan di daerah mereka setelah melihat sendiri kejayaan pelaksanaan.

Menurutnya, melihat kepada pasca Covid-19, ramai anak muda kembali dan berhasrat untuk tinggal di kampung bagi kehidupan lebih selesa serta berada dalam suasana ekonomi lebih baik.

Sementara itu, seorang peserta program MKMF, Normi Ramli, 49, berkata, sejak menyertainya pada tahun 2013, jualan dodol yang diusahakan sejak turun temurun terus meningkat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bermula dengan jualan tidak sampai RM1,000, kini jualan dodol diusahakan melonjak sehingga RM50,000 sebulan dengan tempahan dari seluruh negara.

"Saya harap MKMF ini digerakkan semula kerana ia terbukti berjaya membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) meningkatkan keupayaan serta hasil mereka.

"Ramai lagi yang mendapat manfaat daripada MKMF ini dan seharusnya kerajaan melihat dengan teliti kepentingan program ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaannya mungkin perlu ditambah baik dan disesuaikan dengan keadaan semasa terutama ketika penularan Covid-19.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!