Cadangan tutup sekolah tidak lagi relevan

Gambar hiasan. - Foto Bernama Gambar kecil: Zainol Abidin Ahmad
Gambar hiasan. - Foto Bernama Gambar kecil: Zainol Abidin Ahmad
A
A
A

ALOR SETAR - Cadangan menutup semua sekolah semula buat sementara waktu bagi mengekang risiko penularan virus Covid-19 dalam kalangan pelajar di kawasan sekolah tidak lagi relevan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra, Zainol Abidin Ahmad berkata, penutupan sekolah akan mengganggu sistem pendidikan apatah lagi pelajar bakal menduduki peperiksaan akan lebih ketinggalan.

Beliau yang juga Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Negeri Kedah berkata, pengalaman dilalui pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini amatlah pahit.

"Sehubungan itu, KPM disarankan tidak menutup semua sekolah seperti yang diusulkan oleh Majlis Permufakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBGN).

"Kita mencadangkan kes di setiap sekolah perlu diuruskan secara berasingan dengan penglibatan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), PIBG, KKM dan Jabatan Pendidikan Negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, antara cadangan lain, prosedur operasi standard (SOP) setiap sekolah diperketatkan, pelajar bergejala perlu direhatkan dan mereka diberi kesedaran setiap hari tentang jangkitan Covid-19.

Beliau yang juga YDP PIBG SMK Changlun dan YDP PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Wan Kemara berkata, masyarakat tidak boleh lari daripada Covid-19 dan perlulah belajar mengikuti SOP yang ketat.

"Setiap sekolah tertakluk kepada struktur PPD, jadi apabila sekolah ada kes mereka perlu rujuk kepada PPD masing-masing sebelum menunggu arahan selanjutnya seperti penutupan sekolah dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, katanya, ibu bapa misalnya perlu pantau kesihatan anak di rumah dan jika tidak sihat dan ada gejala diminta tidak menghantar ke sekolah bagi mengelak risiko lebih buruk.

Tambah Zainol Abidin, ibu bapa juga haruslah memberi kesedaran dan info yang penting tentang Covid-19 di kawasan masing-masing.

Pada Selasa lepas, Sinar Harian melaporkan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBGN) mencadangkan penutupan semua sekolah sementara waktu dilaksanakan susulan peningkatan kes melibatkan sekolah dan kenaikan kes negeri.

ARTIKEL BERKAITAN PIBGN cadang sekolah ditutup