X

Kindly register in order to view this article
!

KRI Nanggala 402 tenggelam

Beberapa objek dan serpihan ditemui yang dipercayai milik KRI Nanggala 402. - Foto Agensi
A
A

JAKARTA - Kapal selam Indonesia, KRI Nanggala 402 yang membawa 53 kru disahkan tenggelam selepas ia dilaporkan hilang pada Rabu lalu.

Ketua Angkatan Tentera Laut, Yudo Margono berkata, mereka telah menukar status daripada hilang kontak (submiss) kepada tenggelam (subsunk) susulan penemuan beberapa objek dipercayai milik KRI Nanggala 402 selepas lebih 72 jam operasi menjejaki kapal itu dilancarkan.

Yudo berkata, beliau yakin kesemua serpihan dan objek yang dijumpai di beberapa lokasi di perairan pulau peranginan itu adalah komponen KRI Nanggala 402 tersebut.

"Ia tidak akan timbul apabila tiada tekanan dari luar atau berlaku insiden letupan pada kapal tersebut. Ia bukan milik orang awam malah tiada kapal lain melintas di sekitar kawasan lingkungan 16 kilometer.

"Bekas kru dan pembuat kapal selam itu juga yakin ia milik KRI Nanggala 402," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Serpihan dipercayai komponen kapal selam TNI ditemui

Terdahulu, operasi menjejaki kapal selam tersebut menumpukan sembilan lokasi termasuk di kawasan tumpahan minyak dan tarikan magnet kuat yang dikesan sebelum ini.

Titik pencarian berdasarkan data terbaharu yang diterima itu memfokuskan kawasan lingkungan sekitar 43 kilometer dari Celukan Bawang.

Ketua Badan Penerangan TNI Angkatan Laut, Julius Widjono tetap optimis bahawa operasi yang kini disertai beberapa negara seperti Singapura, India, Amerika Syarikat dan Malaysia akan dapat menjumpai KRI Nanggala 402.

"Kita tidak boleh mudah berputus asa. Kami memohon semua pihak mendoakan agar kesemua 53 kru kapal selam itu selamat," lapor CNNIndonesia.com memetik kenyataannya pada Sabtu.

Ketika banyak pihak mula bimbang dengan bekalan oksigen yang dipercayai hanya mampu bertahan selama 72 jam, Julius bagaimanapun yakin kru KRI Nanggala 402 akan melaksanakan prosedur penjimatan oksigen.

Menurutnya, prosedur itu dapat dilakukan dengan cara para kru mengehadkan aktiviti masing-masing sehingga kapal selama dapat timbul semula pada permukaan.

Sebelum ini, banyak pihak menyuarakan kebimbangan kapal selam TNI mungkin berdepan tekanan air yang tinggi jika ia mencapai kedalaman sehingga 700 meter. - AFP

INFO

Antara objek yang ditemui serpihan torpedo, botol gris, sejadah.

Sebelum ini, Tentera Indonesia mengesan isyarat objek daya tarikan magnet yang tinggi pada kedalaman antara 50 dan 100 meter.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!