Ayob Khan tunjuk skil tebar roti canai

Ayob Khan menebar roti canai semasa pada program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ) di IPK Johor, Johor Bahru pada awal Sabtu.
Ayob Khan menebar roti canai semasa pada program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ) di IPK Johor, Johor Bahru pada awal Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menebar roti canai sempena program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ) di sini pada Sabtu.

Rakaman video pendek berdurasi 64 saat memaparkan beliau menebar roti canai dengan 'sempurna' sambil beramah mesra dengan pengamal media dalam program santai berkenaan.

Menerusi program itu, beliau menyambut rombongan KMJ diketuai Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad dengan diiringi Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Mazlan Bujang.

Ayob Khan berkata, penganjuran seumpama itu secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim antara kerajaan negeri dan agensi seperti polis dan industri media.

"Kerjasama sebegini dapat memantapkan lagi sebarang penyaluran maklumat termasuk aktiviti yang berkaitan.

"Sumbangan media dari segi laporan berita yang dikongsi berhubung kejayaan polis Johor, amat besar ertinya.

"Dalam kalangan kontinjen selain Bukit Aman, Johor ialah antara yang paling tinggi daripada segi perkongsian media meliputi laporan kejayaan besar dicapai polis negeri ini," katanya kepada pemberita selepas program itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini.

Artikel Berkaitan:

Gambar kenangan Ayob Khan bersama bapa yang juga penebar roti canai.
Gambar kenangan Ayob Khan bersama bapa yang juga penebar roti canai.

Empat lokasi dikunjungi KMJ semasa program tersebut iaitu Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Stadium Tertutup Pasir Gudang, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Hospital Sultanah Aminah dan IPK Johor.

Ayob berkata, sumbangan media di negeri ini membantu menaikkan imej polis di Johor.

Sementara itu, Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak berkata, program tahunan diadakan sejak 2015 itu bertujuan memberi penghargaan kepada anggota pasukan keselamatan dan perubatan yang bertugas.

"Selain menghargai jasa pasukan barisan hadapan yang sentiasa menjalankan tugas tanpa mengira masa dan lokasi ketika pandemik Covid-19, ia antara lain sebagai tanda sokongan kami kepada mereka," katanya.

Tahun ini, KMJ mendapat kerjasama Yayasan Johor Corporation (JCorp) untuk pengagihan makanan, selain kerjasama PDRM yang bersama mengiringi rombongan Singgah Sahur.