Justo disiasat pihak berkuasa Switzerland

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemberi maklumat berkaitan salah laku 1MDB, Xavier Andre Justo kini disiasat pihak berkuasa berkuasa Switzerland berhubung dakwaan pengintipan ekonomi.

Menurut laporan portal berita Swissinfo, warga Switzerland itu didakwa mencuri data daripada bekas majikannya, PetroSaudi International dan cuba menjualnya.

Data itu menjadi pemula kepada pendedahan penyelewengan dana 1MDB di sebalik urus niaga dengan Petrosaudi.

ARTIKEL BERKAITAN: Justo terima RM8.2 juta dari The Edge

Portal berita itu melaporkan Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) mengesahkan siasatan terhadap Justo mengikut Artikel 273 Kanun Keseksaan negara itu, berkaitan dakwaan pengintipan ekonomi.

OAG juga mengesahkan Menteri Undang-Undang Switzerland, Simonetta Sommaruga telah mengarahkan pendakwaan terhadap Justo, September lalu.

Justo sebelum ini ditahan di rumahnya di Koh Samui, Thailand, pada 10 Februari 2015 dan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas pegawai PetroSaudi memfailkan aduan bahawa Justo cuba memeras ugut syarikat itu sebanyak 2.5 juta Swiss francs (RM11 juta) dengan dokumen dicuri daripada syarikat berkenaan.

Enam bulan sebelum ditangkap, Justo dikatakan menyerahkan beribu-ribu dokumen termasuk 227,000 e-mel daripada pelayan PetroSaudi, yang memberi maklumat mengenai dakwaan kecurian wang berjumlah ratusan juta dolar daripada 1MDB kepada editor portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Artikel Berkaitan:

Justo juga menerima AS$2 juta (RM8.2 juta) daripada Pengerusi Kumpulan Media The Edge, Datuk Tong Kooi Ong sebagai ‘hadiah’ atas bantuannya mendedahkan isu salah laku 1MDB.

Justo yang juga bekas pegawai PetroSaudi itu dikatakan menerima hadiah berkenaan ketika dia bersama isteri, Laura dan anak lelakinya, Zander,4, mengunjungi Kooi Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif The Edge, Ho Kay Tat di pejabat Kumpulan Media The Edge di Petaling Jaya.