Justo terima RM8.2 juta dari The Edge

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Kumpulan Media The Edge, Datuk Tong Kooi Ong dilaporkan menyerahkan wang berjumlah RM8.2 juta kepada Xavier Andre Justo atas ‘jasa’ beliau mendedahkan skandal 1MDB.

Memetik laporan The Edge, sumbangan itu diserahkan ketika Justo bersama isteri dan anaknya melawat pejabat syarikat akhbar itu di mana mereka turut bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Ho Kay Tat.

“Penyerahan itu atas penghargaan terhadap sumbangannya kepada Malaysia dalam mendedahkan kleptokrasi dilakukan kerajaan sebelum ini.

“Tanpanya, salah laku melibatkan 1MDB seperti yang didedahkan The Edge tidak akan tersebar,” kata Kooi Ong.

Pendedahan tersebut bermula pada Mac 2015 yang membawa kepada penyiasatan di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.

Justo terpaksa membayar harga mahal selepas berkongsi maklumat dengan The Edge dan Sarawak Report dengan mendedahkan billion ringgit ‘dicuri’ daripada 1MDB melalui ‘kerjasama’ dengan Petro Saudi antara tahun 2009 dan 2011.

Lelaki itu kemudiannya ditahan pada Jun 2015 dan dipenjarakan selama 18 bulan dalam penjara di Thailand.

“Tiada siapa patut melalui keadaan sebegitu selepas membantu mendedahkan kebenaran.

Artikel Berkaitan:

“Bagi pihak rakyat Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Justo dan keluarganya,” kata Kooi Ong lagi.

Dalam pada itu, Kooi Ong menegaskan Justo mengakui bahawa tuduhan mengatakan dirinya mencuri data tersebut adalah tidak benar.

“Peguam saya telah cuba menghubungi Petro Saudi berkaitan dakwaan tersebut dan mereka berulang kali tidak respons,” ujarnya.

Sementara itu, Justo menzahirkan penghargaan menerima sumbangan itu dan akan menggunakan wang itu untuk membina semula kehidupannya dan keluarga.

“Rakyat Malaysia perlu tahu kebenarannya (berkaitan 1MDB) dan saya akhirnya dapat semula kebebasan,” katanya.