Ada keperluan kaji semula Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) ketika sesi dialog bersama moderator Christopher Leong pada Persidangan Undang-Undang Malaysia Antarabangsa 2023 hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) ketika sesi dialog bersama moderator Christopher Leong pada Persidangan Undang-Undang Malaysia Antarabangsa 2023 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan terdapat keperluan untuk mengkaji semula Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Menurut beliau, ia bertujuan untuk memperluaskan perlindungan kepada agensi melakukan pendedahan terhadap penyalahgunaan kuasa dan rasuah tanpa rasa takut akan hukuman.

“Kita tahu rasuah salah satu punca utama kejatuhan Empayar Rom dan juga empayar seterusnya. Bukan sahaja kewujudan rasuah tetapi skala dan kesan jangka panjang global juga membimbangkan semua.

“Walaupun kita tidak mempunyai empayar seperti itu, namun sejarah negara kita dicemari oleh salah guna kuasa dan rasuah.

“Musibah ini telah meresap dalam masyarakat kita, menghalang kemajuan dan aspirasi negara serta melemahkan asas tadbir urus yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia (IMLC) 2023 anjuran Majlis Peguam Malaysia di Hotel Shangri-La, di sini pada Isnin.

Anwar pada 14 Februari lalu berkata, kerajaan sedang meneliti peruntukan yang boleh memperketatkan lagi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk memastikan lebih ramai berani tampil mendedahkan kegiatan rasuah.

Menurutnya, usaha kerajaan itu bukan bertujuan untuk memberi laluan kepada mana-mana pihak membuat tuduhan palsu atau fitnah.

Selaras dengan itu, Anwar meminta pengamal undang-undang terus menyokong inisiatif kerajaan untuk menginstitusikan tadbir urus baik dengan mendukung ketelusan dan mengukuhkan usaha terhadap membendung penyalahgunaan kuasa yang teruk serta rasuah.

“Tidak dinafikan bekerja pada masa kini untuk kebaikan masa depan adalah penting tetapi ia sama pentingnya untuk membawa ke muka pengadilan para pelaku rasuah pada masa lalu.

“Kita perlu melihat demonstrasi kuat ini daripada Badan Peguam. Inilah intipati akauntabiliti demokrasi. Kita bukan sahaja bertanggungjawab tetapi mesti dilihat bertanggungjawab juga. Dan ini juga adalah penegasan terhadap keadilan,” ujarnya.