Tekun berdoa tuntut keadilan

No Image Caption
A
A
A

SIFAT adil adalah sangat relatif dan amat sukar untuk menterjemahkan secara tepat bagi semua keadaan. Ada waktunya, sesuatu perkara adalah adil pada masa dahulu tetapi tidak adil dalam konteks sekarang.

Adakalanya tindakan kita adil kepada seseorang itu tetapi tidak adil bagi seseorang yang lain. Namun begitu, selagi sifat ego masih menebal dalam diri, tiada sesiapa pun akan mengaku pernah melakukan ketidakadilan kepada sesiapa dan dalam apa jua keadaan.

Menurut perspektif Islam, sifat adil ini cukup ditekankan. Ia bersifat sangat halus dan perlu kepada penelitian yang mendalam. Kita tidak boleh bangga dengan sifat adil selagi tidak merenung secara mendalam kekurangan diri kita.

Daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW mengutus Mu’adz ke negeri Yaman lalu bersabda: “Takutlah (berhati-hatilah) terhadap doa orang yang dizalimi kerana antara doanya dan ALLAH tidak ada apa-apa penghalang.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Ini bermakna, walaupun seorang itu berilmu, alim dan warak, namun masih perlu diberikan peringatan kerana khuatir dalam menyampaikan dakwah, kemungkinan secara tanpa sedar telah mengaibkan seseorang, menyerang secara peribadi, mudah membuat kesimpulan dan menghukum sesuatu perkara tanpa teliti serta berpihak kepada kumpulan tertentu.

Pendek kata, dalam menyampaikan dakwah pun kita disaran agar tidak menzalimi orang lain apatah lagi melibatkan perkara yang lebih besar.

Sebetulnya, seribu macam cerita boleh dipaparkan berkaitan isu-isu ketidakadilan dalam masyarakat.

Antaranya, isu kenaikan harga barang yang tidak berkesudahan, masalah bekalan air yang tidak pernah selesai, liputan internet yang belum meluas, masalah perumahan rakyat yang sentiasa hangat serta pelbagai lagi isu yang membebani rakyat.

Artikel Berkaitan:

Itu belum termasuk masalah kemiskinan, keselesaan hidup serta hak-hak yang sepatutnya rakyat peroleh dalam negara demokrasi ini.

Ya benar, mereka yang bertanggungjawab ada alasan tersendiri mengapa hal demikian berlaku. Pun begitu, jika rakyat berasa dizalimi dan teraniaya dengan isu-isu berkenaan, sudah tentu mereka akan berdoa siang malam menuntut keadilan daripada ALLAH.

Pada hemat saya, sekiranya pemimpin itu benar-benar takut dengan doa rakyat yang berasa dizalimi dan teraniaya, sudah tentu tidak senang duduk dan menangis jika mendengar ada rakyat yang susah dan lapar.

Malah, jiwa mereka akan gementar apabila mendapat tahu ada anak-anak yang keciciran sekolah kerana membantu ibu bapa yang kurang upaya atau ditimpa penyakit.

Selain itu, mereka juga sanggup merombak sistem yang ada serta memecat pegawai yang tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat. Saya percaya, kita masih tidak ketandusan pemimpin yang berwatak sebegitu, namun kita perlu lebih ramai lagi orang seperti mereka.

Selain itu, isu kezaliman dan penganiayaan juga ‘hinggap’ ke atas diri kita sendiri. Ada yang menjadi mangsa fitnah, disekat kenaikan pangkat, ditipu dan dikhianati serta pelbagai lagi rona-rona kehidupan yang berlaku dalam kalangan kita.

Namun, tidak semua berjaya melepasi ujian tersebut kerana jiwa yang begitu lemah serta kurangnya berdoa kepada ALLAH.

Semoga kita terhindar daripada sifat zalim. Bagi mereka yang berasa dizalimi dan teraniaya, rendahkanlah diri serta tekunlah berdoa bagi menuntut keadilan daripada ALLAH sepanjang Ramadan ini.

Sekiranya pemimpin itu benar-benar takut dengan doa rakyat yang berasa dizalimi dan teraniaya, sudah tentu tidak senang duduk dan menangis jika mendengar ada rakyat yang susah dan lapar.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis